IPOH – Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) di Bandar Meru Raya bukan lagi sekadar lokasi beriadah, sebaliknya mula berkembang sebagai ruang awam yang menggabungkan aktiviti rekreasi dengan peluang ekonomi setempat.
Perubahan itu dapat dilihat menerusi pembukaan Cabin Café Bean Here! jenama kopi tempatan di bawah kendalian Silver Lifestyle Sdn Bhd (Silver Lifestyle), anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).
Malah ia turut menawarkan pilihan baharu kepada pengunjung untuk berehat dan bersosial selepas melakukan aktiviti riadah atau menghadiri program di sekitar kawasan berkenaan.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee berkata, perkembangan tersebut menunjukkan kemudahan sedia ada boleh dimanfaatkan dengan pendekatan lebih kreatif mengikut perubahan gaya hidup masyarakat.
Menurutnya, pengunjung kini bukan sahaja mencari tempat untuk beriadah, tetapi turut mahukan ruang yang membolehkan mereka berehat, berinteraksi dan menikmati pengalaman berbeza dalam satu-satu lokasi.
“Pengunjung hari ini bukan sahaja mencari tempat untuk beriadah, tetapi turut menghargai pengalaman yang santai, menarik dan mempunyai identiti tersendiri.
“BSAS berpotensi untuk terus dikenali sebagai salah satu lokasi pilihan yang menawarkan ruang santai dan rekreasi, menggabungkan cita rasa serta gaya hidup masa kini untuk pelbagai peringkat umur,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambahnya, pendekatan mengaktifkan ruang awam secara produktif juga mampu memberi kesan kepada aktiviti ekonomi setempat apabila lebih banyak perniagaan mempunyai peluang untuk menawarkan perkhidmatan kepada pengunjung.

“Usaha seperti ini selari dengan pendekatan Kerajaan Negeri untuk memperkukuh daya tarikan destinasi sedia ada, menggalakkan aktiviti ekonomi setempat dan menjadikan Ipoh sebagai sebuah bandar yang terus menarik untuk dikunjungi,” katanya.
Dalam konteks itu, pembukaan Cabin Café Bean Here! dilihat sebagai salah satu contoh bagaimana aset sedia ada boleh diberikan fungsi tambahan tanpa menghilangkan peranan asalnya sebagai lokasi rekreasi.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, pembangunan aset tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut penyediaan kemudahan fizikal, tetapi turut mengambil kira nilai yang boleh diwujudkan kepada masyarakat dan negeri.
“Bagi PKNPk, pembangunan aset bukan sekadar membina atau memiliki kemudahan fizikal, tetapi bagaimana aset tersebut dimanfaatkan untuk memberi nilai tambah kepada negeri dan masyarakat setempat.
“BSAS telah sedia dikenali sebagai lokasi rekreasi dan riadah, dan kita mahu potensi tersebut terus dikembangkan,” katanya.
Menurutnya, pendekatan berkenaan turut membuka ruang kepada sektor makanan dan minuman untuk berkembang, selain berpotensi menyediakan peluang pembangunan kemahiran kepada masyarakat setempat khususnya golongan belia.
Malah, langkah tersebut tidak terhad kepada BSAS apabila Silver Lifestyle Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh PKNPk, kini memperluaskan rangkaian Bean Here! di beberapa lokasi strategik di sekitar Ipoh.
Antaranya termasuk Perak Techno Trade Centre (PTTC), Kolej PolyTech MARA (KPTM) Meru Raya, Hotel Casuarina@Meru dan UniKL Ipoh, dengan konsep yang disesuaikan mengikut lokasi serta keperluan pelanggan. -MG Perak


