Bunuh rakan: Nelayan dihukum penjara 32 tahun, 12 sebatan

IPOH – Seorang nelayan warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara 32 tahun oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, pada Rabu, atas pertuduhan membunuh dan cubaan membunuh rakan senegaranya, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Nai San Thein, 38, turut dikenakan hukuman 12 kali sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Myanmar di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Tertuduh yang juga bapa kepada seorang anak lelaki berusia 13 tahun itu diperintah menjalani hukuman dari tarikh ditangkap pada 6 April 2020

San Thein didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Myint Soe di atas bot PKFB, Pelantar Ikan Lee Hang Chin Fishery, Bagan Parti 4, tepi Sungai Sumun, dekat Bagan Datuk pada jam antara 11 pagi hingga 11.45 pagi, 6 April 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara hingga 40 tahun, dan sekiranya tidak digantung, boleh dikenakan hukuman 12 sebatan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan cubaan membunuh terhadap San Thien pada masa, tarikh dan lokasi sama.

bunuh rakan nelayan Myanmar mati penjara sebat bunuh rakan nelayan Myanmar mati penjara sebat bunuh rakan nelayan Myanmar mati penjara sebat
Seorang nelayan warga Myanmar, Nai San Thein, 38, dijatuhi hukuman penjara 32 tahun oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, pada Rabu, atas pertuduhan membunuh dan cubaan membunuh rakan senegaranya, tiga tahun lalu. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 DISEMBER 2023.

Bagi kesalahan itu, lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dikenakan denda.

Menurut fakta kes, San Thein telah menyebabkan kematian dengan menetak bahagian kepala Myint Soe dengan menggunakan parang sebelum membuang mayat rakannya ke dalam sungai.

Tertuduh juga telah cuba untuk membunuh seorang lagi rakannya, bagaimanapun gagal.

Terdahulu, peguam Ranjit Singh yang mewakili tertuduh memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman penjara yang minimum selepas mengambil kira pengakuan tertuduh yang telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

“Anak guam saya mengakui kesal atas perbuatannya itu, yang mana didakwa berpunca daripada tindakan provokasi yang dilakukan si mati dengan seorang lagi rakan mereka terhadapnya,” katanya.

“Tertuduh yang tiada sebarang rekod kesalahan lampau ini memohon agar dikecualikan daripada hukuman gantung dan memohon dikenakan hukuman penjara minimum dari tarikh ditangkap,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Saifulakmal Mod Said memberitahu mahkamah bahawa perbuatan yang dilakukan tertuduh adalah satu kesalahan yang serius.

Justeru beliau memohon lelaki berkenaan dikenakan hukuman gantung bagi kesalahan membunuh dan hukuman berat bagi pertuduhan cubaan bunuh.

Hakim Datuk Abdul Wahab kemudian menjatuhkan hukuman penjara 32 tahun dan 12 sebatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, tertuduh dijatuhkan hukuman empat tahun penjara.

Beliau memerintahkan agar kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap.

Selain itu, mahkamah memerintahkan eksibit yang bukan berbentuk dokumen dikembalikan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya, manakala eksibit berbentuk dokumen dikekalkan.

Perbicaraan bagi kes tersebut dijalankan pada 6 Julai lalu dengan dua saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan membabitkan dua lelaki warga Myanmar. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pegawai polis dituduh bunuh menyebabkan kematian Zaharif Affendi

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI