Cadangan Lumut sebagai Bandar Pertahanan masih awal

IPOH – Hasrat menjadikan Lumut sebagai ‘Defence City’ atau Bandar Pertahanan ketiga di negara ini masih lagi di peringkat awal iaitu untuk mendapatkan keputusan dasar oleh Kementerian Pertahanan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebagai menyokong pelaksanaan dasarnya, kerajaan negeri akan memudah cara pelaksanaan inisiatif itu sekiranya ia diputuskan untuk dilaksanakan kelak.

“Dalam suatu mesyuarat bersama Kementerian Pertahanan yang telah diadakan pada 7 September tahun lalu, kerajaan negeri telah mencadangkan beberapa inisiatif bagi pelaksanaan Zon Industri Pertahanan.

“Antaranya, inisatif praperundingan percuma kepada pemain industri dan pelabur yang ingin melabur di Zon Industri Pertahanan serta memberikan pengurangan kepada premium tanah yang terlibat sebagai galakan kepada pemain industri.

“Selain itu, kerajaan negeri turut memberikan kebenaran memulakan kerja-kerja awal setelah mendapat kelulusan Kebenaran Merancang (KM); memberi laluan pantas untuk Arahan Pembangunan (DO); dan, remisyen untuk ‘quit rent’ untuk tempoh tiga tahun dengan kadar lima hingga 15 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Rosli Abd Rahman (PN- Pasir Panjang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Saarani (BN-Kota Tampan) berkata, Kementerian Pertahanan sedang melaksanakan penggubalan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Kertas Putih Pertahanan (KPP)

Tambah beliau, salah satu objektif utama DIPN adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah hub industri pertahanan dengan membina sebuah industri pertahanan yang berdaya saing dan berdaya tahan.

“Bagi mencapai objektif ini, antara inisiatif yang dirangka adalah melaksanakan pengezonan kawasan-kawasan industri pertahanan sedia ada di tiga buah kawasan.

“Iaitu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang Selangor sebagai ‘Aerospace Defence Industry Nucleus’; Pekan, Pahang sebagai ‘Automotive Defence City’ dan Lumut, Perak sebagai ‘Maritime Defence City’,” katanya lagi.

Pada Ogos tahun lalu, Lumut yang terletak di daerah Manjung diumumkan sebagai perancangan untuk dijadikan sebagai Bandar Pertahanan ketiga di negara ini selepas di Selangor dan Pahang. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Sidang DUN Perak kecoh disebabkan ‘konsert liar’

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI