Cadangan naikkan harga siling BPT perlu dikaji

IPOH – Kerajaan perlu mengkaji terlebih dahulu cadangan menaikkan harga siling beras putih tempatan (BPT) kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram ketika ini seperti yang disuarakan pihak tertentu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia bagi memastikan tidak ada pihak yang terbeban sekiranya kenaikan harga siling BPT dilaksanakan.

“Ada pihak mengatakan bahawa ia perlu dikaji semula dan kita kena tengoklah dahulu kerana kalau berlaku (kenaikan) bebanannya bukan kepada satu pihak sahaja.

“Bebanan kepada penanam padi, pemborong, pengilang dan juga pengguna jadi kena pertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Jualan Kombo Madani bersempana sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru, pada Ahad.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, kerajaan juga perlu mengadakan perbincangan lanjut mengenai cadangan berkenaan dengan melibatkan beberapa buah kementerian sebelum sebarang kata putus dimuktamadkan.

Ujar beliau, perbincangan berkenaan perlu melibatkan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPTM).

“Kementerian-kementerian ini akan berbincang dengan teliti sebelum membuat keputusan memandangkan harga siling BPT buat masa ini merupakan harga tahun 2008,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, Badan Kawal Selia Padi dan Beras mendapati harga siling BPT wajar dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram bagi menjaga masa depan semua pihak yang terbabit dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu, terutama pesawah.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood, berkata penetapan harga siling BPT pada RM2.60 tidak disemak sejak 15 tahun lalu walaupun gaji minimum sudah dinaikkan sebanyak dua kali dalam tempoh itu. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI