TELUK INTAN – Waris kepada dua remaja perempuan yang maut dalam nahas jalan raya di Jalan Padang Tembak di sini minggu lalu berhasrat menggunakan sebahagian bayaran Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia (TPSM) bagi melaksanakan badal haji untuk kedua-dua arwah.
Hasrat itu dizahirkan bapa kepada Allahyarham Nur Dania Arissa, 17, Salim Husain, 43, dan bapa kepada Allahyarham Nur Atikah, 16, Mohd Said Zaini, 55.
Mereka menyatakan hasrat itu selepas masing-masing menerima bayaran RM5,500 yang disampaikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairuddin Abu Hanipah di sini, pada Selasa.
Ketika ditemui pemberita, Salim berkata, selain badal haji, wang berkenaan turut akan digunakan bagi menyiapkan batu nisan serta mengadakan kenduri tahlil untuk arwah anaknya.
“Wang daripada skim yang diterima ini, mungkin saya akan gunakan untuk buat batu nisan, kenduri arwah dan badal haji untuk arwah anak saya.
“Sekiranya ada lebihan, saya akan beri kepada adiknya, Adam Fathul Darwish, 43, untuk kegunaan persekolahan,” katanya ketika ditemui di kediamannya pada Program Ziarah Cakna di Kampung Padang Tembak, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, kehilangan anak sulung daripada dua beradik itu masih sukar diterima isteri, Saodah Lami, 43, dan adiknya yang masih terbiasa dengan rutin harian bersama arwah.
“Sejak pemergian Nur Dania Arissa, ibunya pada setiap pagi dan petang akan pergi menziarahi pusara arwah.
“Adiknya pula kadang-kadang masih bertanya kenapa kakaknya masih belum pulang tatkala menjelang waktu senja. Kami semua masih belajar menerima kenyataan,” katanya lagi.
Pada masa sama, Salim turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan melalui skim tunai serta memberi sokongan moral kepada keluarganya.
Sementara itu, Mohd Said berkata, beliau turut berhasrat menyimpan sebahagian wang pampasan diterima bagi tujuan melaksanakan badal haji untuk Allahyarham Nur Atikah.

“Memang niat saya hendak gunakan sedikit wang ini untuk badal haji arwah. Selebihnya saya akan simpan untuk ibunya,” ujarnya.
Menurutnya, pemergian anak bongsu daripada sembilan beradik yang aktif dalam unit beruniform sekolah, Kadet Polis itu meninggalkan kesan amat mendalam buat dia dan keluarga.
“Setiap hari saya hantar dia ke sekolah. Sekarang bila rutin itu tiada, memang terasa sangat kehilangannya.
“Kadang-kadang saya masih termimpi-mimpikan dia dan ahli keluarga lain pun masih memanggil namanya di rumah,” katanya dengan nada sebak sambil memegang uniform Kadet Polis arwah.
Terdahulu, Khairuddin berkata, kunjungan ke kediaman kedua-dua keluarga itu sebagai menzahirkan rasa simpati dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kehilangan yang menimpa mereka.

Beliau berkata, setiap keluarga menerima bayaran RM5,500 menerusi skim TPSM sebagai tanda keprihatinan terhadap musibah yang berlaku.
Kata Khairuddin, pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak juga akan meneruskan sesi kaunseling kepada keluarga mangsa sehingga mereka benar-benar stabil dari segi emosi dan mampu meneruskan kehidupan seperti biasa.
Pada 26 Julai lalu, dua remaja perempuan maut di tempat kejadian selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Padang Tembak.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.35 petang itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun cedera dan dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan.
Pemandu kereta yang berusia 28 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada 30 Julai atas empat pertuduhan termasuk dua kesalahan membunuh remaja tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


