TELUK INTAN – Seorang pekerja swasta dihadapkan di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini atas dua pertuduhan membunuh dalam nahas membabitkan tiga kenderaan yang meragut dua nyawa remaja perempuan di Jalan Padang Tembak, di sini Ahad lalu.
Tertuduh, Alex Robert, 28, yang memandu kereta dalam kejadian tersebut mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Naidatul Athirah Azman.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah membunuh Nur Dania Arissa Salim, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia di Jalan Padang Tembak dalam daerah Hilir Perak di sini sekitar jam 6.35 petang, 26 Julai 2026.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah membunuh Nur Atikah Abdullah, 16, di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, atau dipenjarakan antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman gantung, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, tertuduh warga tempatan yang bekerja di Singapura mengaku tidak bersalah di atas dua lagi pertuduhan memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah tanpa kecermatan hingga mengakibatkan kecederaan kepada dua mangsa, pada lokasi, masa dan tarikh sama.
Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki yang masih bujang itu telah memandu kereta jenis Honda Civic di atas jalan raya di bawah pengaruh dadah yang menyebabkan dia tidak berdaya mengawal kenderaan tersebut dengan sepatutnya sehingga menyebabkan kecederaan kepada pejalan kaki, Adam Arjuna Abdullah, 7.
Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 44(1A) (a) APJ 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun, dan denda tidak kurang daripada RM30,000 dan tidak lebih daripada RM50,000, jika sabit kesalahan.

Untuk pertuduhan kedua, dia didakwa telah memandu kenderaan sama tanpa kecermatan dan perhatian sewajarnya menyebabkan kemalangan kepada A Suresh, 50.
Oleh itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM10,000, dan boleh dipenjara tidak melebihi 12 bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan tertuduh diwakili peguam, Koh Shean Wai.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 11 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Penetapan tarikh tersebut juga bagi membolehkan pihak pendakwaan melengkapkan laporan bedah siasat kedua-dua mangsa, laporan toksikologi tertuduh, serta laporan perubatan berkaitan.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian dilaporkan berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku akibat kereta yang dipandu lelaki terbabit hilang kawalan sebelum cuba memotong kenderaan lain di hadapannya.
Menurutnya, susulan itu kereta terbabit telah melanggar sebuah motosikal dan sebuah kereta lain di hadapan serta seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, dua remaja perempuan masing-masing berusia 17 dan 16 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu kereta berkenaan serta seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang terlibat dalam kemalangan sama telah dihantar ke Hospital Teluk Intan bagi mendapatkan rawatan susulan,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dua remaja maut, kanak-kanak cedera dirempuh kereta hilang kawalan
Kemalangan dua remaja maut: Polis sahkan pemandu kereta positif dadah


