KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor melalui peguamnya mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan berhubung dakwaan kenyataan berunsur fitnah terhadap beliau.
Menerusi surat bertarikh 27 Julai 2026 yang dikeluarkan firma guaman Faizi & Associates, Sanusi mendakwa Sathia telah membuat kenyataan media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada atau sekitar 24 Julai lalu sebelum memuat naik rakaman kenyataan itu ke akaun TikTok miliknya.
Menurut surat berkenaan, kenyataan Sathia didakwa memberi gambaran bahawa Sanusi mengeluarkan kenyataan supaya masyarakat India “balik ke India” dan masyarakat Cina “balik ke China”.
Dalam surat tuntutan itu, Sanusi menegaskan, kenyataan yang dibuat Sathia adalah tidak benar, mengandungi penyelewengan fakta serta disunting secara mengelirukan sehingga menjejaskan reputasi beliau sebagai pemimpin politik.
Peguamnya juga mendakwa kenyataan sebenar Sanusi hanya menjelaskan bahawa orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu sebagai tanah air, manakala bangsa lain mempunyai negara asal masing-masing, dan bukannya mengarahkan mana-mana kaum meninggalkan Malaysia.
Sehubungan itu, Sanusi menuntut Sathia dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh penerimaan surat berkenaan supaya menarik balik serta memadamkan keseluruhan video TikTok tersebut dan memastikan ia tidak diterbitkan semula dalam apa jua bentuk.
Beliau turut menuntut Sathia mengemukakan permohonan maaf secara terbuka melalui akaun TikTok serta menerbitkannya dalam akhbar tempatan, laman sesawang dan platform media sosial yang dipersetujui.
Selain itu, surat berkenaan turut menuntut Sathia mencadangkan jumlah ganti rugi yang munasabah untuk dipersetujui kedua-dua pihak.
Firma guaman itu memaklumkan, sekiranya tuntutan berkenaan gagal dipenuhi dalam tempoh ditetapkan, Sanusi berhak mengambil tindakan undang-undang termasuk mendapatkan perintah injunksi tanpa sebarang notis lanjut terhadap Sathia. – MalaysiaGazette


