KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei mendakwa, kegagalan DAP mempertahankan prinsip memerangi rasuah serta terlalu berkompromi dengan kepimpinan kerajaan menjadi antara punca utama kemerosotan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH).
Dalam surat terbuka kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Albert mendakwa, DAP gagal menggunakan isu berkenaan sebagai peluang untuk membuktikan keteguhan prinsip dan ideologi parti dalam memerangi rasuah serta salah guna kuasa.
Sebaliknya, beliau mendakwa segala janji reformasi yang dibuat DAP ketika menjadi pembangkang sebelum ini hanya sekadar retorik dan tidak diterjemahkan apabila parti berkuasa.
Albert turut mendakwa DAP bekerjasama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggunakan pendedahannya berkaitan skandal rasuah Sabah bagi menekan 15 individu berprofil tinggi termasuk pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), menteri, menteri kanan, ketua menteri dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Tekanan tersebut bertujuan memastikan individu terbabit akur dengan kehendak Putrajaya dan bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Tindakan itu akhirnya menyebabkan dirinya menerima ancaman bunuh, selain didakwa dihalang daripada membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pernah diugut supaya berdiam diri.
“Pendedahan tersebut telah dilaporkan secara meluas oleh Malaysiakini dengan sokongan pelbagai bukti termasuk rakaman video, rekod komunikasi WhatsApp, jejak wang, dokumen dan keterangan saksi.
“Namun, SPRM ketika diterajui Azam Baki didakwa berusaha menutup kes tersebut dan menyembunyikan kebenaran bagi melindungi individu yang mempunyai nilai politik kepada kerajaan PH,” dakwanya menerusi hantaran di Facebook.
Albert berkata, kesilapan terbesar DAP adalah apabila parti itu didakwa berkomplot dengan Anwar dalam tindakan yang menurutnya menganiaya dirinya berhubung pendedahan tersebut.
Beliau mendakwa, pada akhir November 2025, beberapa hari sebelum PRN Sabah, dirinya turut mendedahkan dakwaan penglibatan Anwar dalam skandal rasuah di Sabah.
Katanya lagi, rakaman video membabitkan 15 ahli politik Sabah dibuat atas arahan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar yang didakwa memaklumkan bahawa beliau bertindak dengan mandat daripada Perdana Menteri.
Albert turut mendakwa, Shamsul Iskandar pernah mengugutnya supaya membayar kira-kira RM600,000.
“Saya ialah pengadu dan mangsa, namun sebaliknya saya pula dianiaya dan dizalimi oleh SPRM kerana mendedahkan salah laku mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Albert turut mendakwa beberapa isu lain seperti e-Invois, subsidi diesel dan petrol, kenaikan tarif elektrik, peningkatan kos sara hidup serta isu pengawalan rumah ibadat menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan sokongan terhadap PH, khususnya DAP.
Beliau mendakwa, kemerosotan tersebut bermula di Sabah sebelum merebak ke Johor dan Negeri Sembilan serta tidak mustahil akhirnya memberi kesan kepada Putrajaya.
Albert turut mempersoalkan tempoh enam bulan yang diberikan DAP kepada Perdana Menteri pada awal Disember 2025 untuk mempercepatkan pelaksanaan reformasi susulan kekalahan parti itu di Sabah.
Menurutnya, tempoh tersebut sudah berlalu namun DAP sekali lagi didakwa gagal memastikan janji reformasi berkenaan ditunaikan.
“Selama ini DAP memperoleh sokongan kukuh, khususnya masyarakat Cina, dengan menjadikan agenda memerangi rasuah sebagai teras naratif dan pendekatan politiknya.
“Sekiranya parti itu kehilangan kredibiliti dalam agenda tersebut, DAP akan kehilangan modal politik yang selama ini menjadi kekuatan utamanya dan ia boleh menjejaskan prestasinya secara serius dalam PRU akan datang,” katanya.
Bagi memastikan DAP kekal relevan dalam politik Malaysia, Albert mencadangkan parti itu melakukan reformasi organisasi secara menyeluruh, termasuk mempertimbangkan penjenamaan semula parti.
Beliau turut mencadangkan, struktur kepimpinan DAP diubah dengan menjadikan Presiden sebagai pemimpin tertinggi parti, berbanding jawatan Setiausaha Agung, yang menurutnya boleh mengurangkan persepsi negatif terhadap struktur kepimpinan parti.
Albert berkata, penglibatannya dalam politik adalah bagi menentang apa yang didakwanya sebagai ketidakadilan dan penganiayaan terhadap dirinya.
“Saya akan terus berpegang teguh pada perjuangan ini dan meneruskannya sehingga keadilan berjaya ditegakkan,” katanya. – MalaysiaGazette


