IPOH – DAP Perak sebulat suara memutuskan untuk terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan dan menggerakkan seluruh jentera parti bagi menunaikan mandat rakyat serta meneruskan agenda reformasi negara.
DAP Perak dalam kenyataan hari ini memaklumkan ketetapan itu diambil bagi menggerakkan seluruh jentera parti dalam menunaikan mandat rakyat dan melaksanakan janji pilihan raya di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut kenyataan itu, pimpinan Anwar terbukti berjaya melaksanakan pelbagai pembaharuan sepanjang tiga tahun pentadbiran, selain meningkatkan imej serta kedudukan negara di pentas dunia.
“DAP mesti terus membuktikan kemampuan melalui pencapaian dan prestasi bekerja agar tidak menghampakan harapan rakyat.
“Dengan kekal berada dalam kerajaan, kita dapat terus melaksanakan manifesto Pakatan Harapan termasuk reformasi institusi, kebebasan badan kehakiman, usaha membanteras rasuah, mengurangkan kos sara hidup, pembaharuan sistem pendapatan negara serta menjamin hak dan kebebasan masyarakat berbilang kaum,” menurut kenyataan itu.
DAP Perak menegaskan keperluan untuk merealisasikan sepenuhnya dasar dalam penggal ini bagi menggerakkan reformasi serta memacu pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Parti itu juga komited untuk menggembleng seluruh kekuatan untuk menunaikan mandat rakyat sambil kekal berpegang kepada aspirasi perjuangan ‘Malaysia untuk rakyat Malaysia’ dan mengingati amanah perjuangan.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa demi mempertahankan kekuatan politik masyarakat majmuk yang inklusif dan progresif, DAP perlu kekal dalam Kerajaan Perpaduan bagi mengimbangi serta menghalang kuasa ekstrem daripada terus berkembang.
“Malaysia telah menyaksikan pertukaran empat Perdana Menteri dalam tempoh tujuh tahun lepas. Ketidakstabilan politik telah menjejaskan ekonomi serta keyakinan pelabur. Pengalaman pahit itu tidak boleh berulang, oleh itu DAP sama sekali tidak boleh mengecewakan mandat yang diberikan oleh rakyat.
“Parti mesti memikul tanggungjawab untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal bagi mengekalkan kestabilan politik, melaksanakan reformasi, membuktikan pencapaian dan meraih semula keyakinan rakyat. Inilah jalan yang benar dan bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.
Pendirian itu dizahirkan menjelang Persidangan Kebangsaan DAP 2026 pada Ahad ini yang bakal menentukan hala tuju parti sama ada kekal atau keluar daripada Kerajaan Persekutuan, sehingga tamat penggal Parlimen semasa dan usul mengenainya akan dibentangkan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Keputusan mengenai usul berkenaan akan ditentukan menerusi undian 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan yang layak menghadiri persidangan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu. – BERNAMA


