Dr. Mohd Hisham dilantik Ketua Pengarah MET Malaysia Baharu

KUALA LUMPUR – Dr. Mohd Hisham Mohd Arip dilantik sebagai Ketua Pengarah MET Malaysia yang baharu, berkuat kuasa hari ini..

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) yang mengumumkan pelantikan itu berkata: “Dengan pengalaman luas dalam bidang meteorologi, beliau dijangka mampu memperkukuh perkhidmatan jabatan tersebut dalam aspek penyampaian ramalan cuaca dan pengurusan bencana alam di negara ini.

“Pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah yang ke-11 dilihat sebagai usaha kerajaan untuk memastikan MET Malaysia terus berperanan sebagai agensi unggul dalam bidang meteorologi dan pengurusan bencana di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr. Mohd Hisham, 56, berkelulusan dalam bidang Sains Matematik dari Universiti Malaya, serta memperoleh Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang Sains Atmosfera dari Universiti Monash, Australia.

Menurut MET Malaysia, beliau memulakan kerjaya di MET Malaysia pada Mac 1994 dan mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam pelbagai cabang meteorologi, termasuk ramalan cuaca, klimatologi, serta pengurusan kualiti udara.

“Kepakaran beliau dalam meteorologi telah melayakkan Dr. Mohd Hisham memimpin pelbagai inisiatif teknikal dan menyertai pasukan pakar di peringkat antarabangsa dalam bidang ramalan cuaca, perubahan iklim, dan pengurusan bencana.

“Selain itu, beliau juga sering diundang untuk menyumbang pandangan dalam pelbagai kumpulan kerja teknikal dan konsultasi di peringkat nasional dan global, dengan fokus pada pengurusan risiko bencana serta penyelidikan berkaitan banjir dan cuaca ekstrem,” ujarnya.

Dengan peralihan pucuk pimpinan ini, MET Malaysia dijangka terus komited dalam memperkukuhkan operasi pemantauan dan amaran cuaca yang menyeluruh, sekaligus memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terjamin melalui data dan ramalan cuaca yang tepat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI