Dua anggota polis salah guna dadah, ketum digantung kerja

IPOH – Dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak yang disyaki terlibat dengan kes penyalahgunaan dadah dan ketum dalam serbuan sebuah premis di Tanjung Rambutan, Jumaat lalu telah dikenakan tindakan gantung kerja.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, penggantungan anggota berpangkat koperal dan koperal sokongan berusia 41 dan 39 tahun itu dikuatkuasa bermula hari ini sehingga siasatan selesai.

Menurut beliau kedua-dua anggota disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Untuk negeri Perak yang di bawah bidang kuasa saya terdapat dua anggota terlibat dan mereka telah ditahan kerja bermula hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris beramah mesra bersama pesara polis ketika hadir pada Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 18 SEPTEMBER 2024.

Seramai 186 pesara dan bakal pesara diraikan pada majlis berkenaan selain menerima sijil penghargaan yang disampaikan Azizi.

Ditanya mengenai tempoh reman anggota terlibat disambung atau tidak Azizi berkata, ia bergantung kepada keperluan siasatan.

“Esok (Khamis) reman tamat dan kalau perlu lagi untuk siasatan kita akan rujuk atau bawa kepada pertuduhan sekiranya siasatan telah lengkap,” katanya.

Terdahulu tular di aplikasi Telegram tujuh anggota polis ditahan dalam serbuan dijalankan Cawangan Risikan dan Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman di sebuah rumah di Tanjung Rambutan.

Dalam serbuan sekitar jam 1.30 pagi itu didapati, anggota yang ditahan terlibat dengan aktiviti memproses dan menjual air ketum serta menjalankan perniagaan rokok tidak bercukai.

Berdasarkan maklumat tersebut kesemua anggota ditahan berpangkat koperal, koperal sokongan, konstabel dan sarjan. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Polis serbu makmal dadah di Buntong, babit rampasan lebih RM300,000

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI