GERIK – Eksesais LAND THAMAL Siri 29/2026 yang disertai 252 pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Diraja Thailand (RTA) menjadi medium dalam memperkukuhkan hubungan pertahanan dua hala antara Malaysia dan Thailand.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia dalam satu kenyataan berkata, latihan ketenteraan bersama yang berlangsung di sini selama lapan hari sejak 5 Ogos itu turut berperanan meningkatkan keupayaan kedua-dua negara menghadapi pelbagai cabaran.
Katanya, ia termasuk cabaran terhadap bencana alam, ancaman keselamatan, konflik serta isu keselamatan serantau menerusi kerjasama erat dan tahap persefahaman yang tinggi.
“Sepanjang pelaksanaannya, eksesais ini memberi penekanan kepada usaha melatih dan meningkatkan pengetahuan serta perkongsian keupayaan taktikal.
“Ia melalui pertukaran idea dan pengalaman, memperkukuh kerjasama serta kefahaman terhadap prosedur taktikal dan mengeratkan hubungan kerja melalui semangat kerjasama serta komunikasi antara kedua-dua angkatan.
“LAND THAMAL terus menjadi platform penting dalam menyumbang kepada usaha bersama dalam memelihara keselamatan sempadan serta keamanan dan kestabilan serantau,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Katanya, Majlis Perasmian Pembukaan LAND THAMAL Siri 29/2026 telah disempurnakan Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim dan 5th Infantry Brigade Commander, Senior Colonel Taweeporn Kanatong.
Jelas kenyataan sama, eksesais yang melibatkan 197 warga TDM dan 55 RTA itu juga meningkatkan tahap interoperabiliti, berkongsi pengetahuan serta pengalaman dan memperkukuh kefahaman terhadap prosedur taktikal bersama
Menurutnya lagi, eksesais bilateral tahunan antara TDM dan RTA itu dilaksanakan secara penggiliran antara kedua-dua negara di bawah kerangka kerjasama General Border Committee (GBC).
Tambahnya, pada siri kali ini Malaysia bertindak sebagai tuan rumah dengan Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan sebagai pasukan penganjur utama, selain latihan merangkumi aspek taktikal, kerjasama ketenteraan dan hubungan bersama komuniti setempat.
“LAND THAMAL Siri 29/2026 dilaksanakan menerusi tiga fasa utama iaitu ‘Cross Training Exercise’ (CTX), ‘Field Training Exercise’ (FTX) dan ‘Combined Military Civil Action’ (CMCA).
“Pelaksanaan latihan medan memberi pendedahan kepada anggota kedua-dua negara dalam pelbagai aspek taktikal termasuk prosedur tempur, merentas halangan, berpangkalan, rondaan, serang hendap serta serangan ke atas kem musuh,” katanya.
Katanya lagi, turut diadakan CMCA menerusi Program Jiwa Murni dalam aktiviti kemasyarakatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah II, Gerik.
Jelasnya, program berkenaan merangkumi aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah, mengecat, menebang pokok serta menceriakan kawasan sekolah.
“Kemuncak eksesais pada Rabu menyaksikan pelaksanaan serangan akhir kem musuh di kawasan latihan Kampung Ayer Ganda, Gerik.
“Ia turut disaksikan oleh Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Zamsari Abu Hasan bersama Commander 5th Infantry Division, Royal Thai Army, Mejar Jeneral Aphinan Jamjang.
“Serangan akhir tersebut menjadi medan kepada pasukan gabungan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran taktikal dan prosedur yang telah dipelajari serta diselaraskan sepanjang eksesais,” katanya.
Tambahnya, Majlis Penutup Eksesais LAND THAMAL Siri 29/2026 telah dilaksanakan dengan acara merangkumi nyanyian lagu kebangsaan Malaysia dan Thailand, upacara menanggalkan Toha, ucapan penutup oleh Panglima 2 Divisyen, pertukaran cenderamata serta sesi bergambar.
“Kejayaan LAND THAMAL Siri 29/2026 mencerminkan tahap hubungan profesional dan persefahaman yang kukuh antara TDM dan RTA.
“Eksesais ini bukan sahaja meningkatkan interoperabiliti dan kesiagaan operasi, malah menyediakan ruang kepada anggota kedua-dua negara untuk membina kepercayaan, berkongsi pengalaman serta memahami kaedah operasi masing-masing,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


