Elak jadi mangsa wang palsu melalui bayaran tanpa tunai – Salbiah

BATU GAJAH – Peniaga kecil di Perak, disarankan menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penggunaan wang palsu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kerajaan negeri sebelum ini melalui beberapa siri kempen kepada peniaga kecil di pasar malam telah menyarankan golongan berkenaan menggunakan kaedah tersebut.

“Ini kerana, kaedah pembayaran tanpa tunai membantu peniaga kecil merekodkan pengurusan kewangan perniagaan dengan lebih mudah, termasuk bagi tujuan memohon pinjaman bank dan sebagainya.

“Jadi, memang kita galakkan para peniaga kecil ini untuk membudayakan penggunaan kaedah pembayaran tanpa tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan dua kilang pembuatan makanan tempatan, Idda’s Industry dan Mama Keen Empire di Kawasan Perindustrian Siputeh, di sini, pada Isnin.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed (kanan) merasmikan Kilang Idda’s Frozen di Kawasan Perindustrian Ringan Siputeh, Batu Gajah. Foto ABDULLAH YUSOF, 06 NOVEMBER 2023.

Mengulas lanjut, Salbiah berkata, setakat ini sambutan kaedah pembayaran secara tanpa tunai disambut baik dalam kalangan usahawan di seluruh Perak.

Salbiah berkata, beliau melihat kesedaran dalam kalangan peniaga kecil bertambah hari demi hari di mana golongan berkenaan dilihat mula mengutamakan kaedah bayaran tanpa tunai.

Terdahulu media melaporkan penularan penggunaan wang palsu terhadap peniaga kecil yang semakin membimbangkan ketika ini, terutama apabila menjelang musim perayaan. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kurniaan darjah kebesaran manifestasi buat wanita di Perak –  Salbiah

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI