ExKIP 12 tawar 600 peluang pekerjaan, penempatan latihan industri

TANJUNG MALIM – Sebanyak 600 peluang pekerjaan dan penempatan latihan industri daripada 20 syarikat ditawarkan pada Program Expo Kerjaya Industri Politeknik kali ke-12 (ExKIP 12) tahun 2024 di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang dekat sini.

Dalam satu kenyataan PSAS memaklumkan, penganjuran program selama dua hari bermula Selasa itu hasil kerjasama antara Pusat Industri Korporat dan Kebolehpasaran (CISEC) PSAS dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Perak.

Katanya, program berkenaan telah memberi manfaat kepada lebih 1,000 pengunjung di samping membantu semester akhir PSAS mendapatkan penempatan latihan industri.

“Pihak industri juga berpeluang mengenal pasti calon yang berpotensi melalui program ini dan seterusnya mengukuhkan jaringan kerjasama positif antara rakan industri dan PSAS.

“Pengunjung dan pempamer juga berpeluang untuk memanfaatkan pertukaran pengetahuan, kemahiran dan teknologi, serta membuka ruang kolaborasi dengan pihak industri,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

ExKIP 12 peluang pekerjaan penempatan latihan industri PSAS
Antara pengunjung yang hadir bagi menjalani temuduga penempatan pekerjaan dan penempatan Latihan Industri bersama pihak industri yang terlibat. foto Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS).

Majlis Perasmian Pembukaan ExKIP 12 disempurnakan Timbalan Pengarah Unit Kebolehpasaran Graduan, Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Asnizah Sahekhaini serta Pengarah PSAS, Mohd Zulkefli Ibrahim.

Tambahnya, sepanjang dua hari penganjuran, terdapat pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk pameran agensi kerajaan dan industri, aktiviti Focus Group Dialogue (FGD), bicara alumni, dan sebagainya.

Pada masa sama, kenyataan itu memaklumkan, PSAS turut menandatangani surat niat (LOI) bersama tujuh buah syarikat dan organisasi pada ExKIP 12.

Ia termasuk, Sustainability Solution; Persada Consultancy; PSM Machinery Enterprise; KUKA Robot Automation (Malaysia) Sdn. Bhd; My Monster Marketing; Revenue Discovery Sdn. Bhd. serta Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Majlis menandatangani sijil kolaborasi bersama pihak industri ini menjadi batu loncatan kepada PSAS untuk membina peluang kerjasama dalam bidang kejuruteraan, penyelidikan serta latihan. Ia sekaligus dapat meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan PSAS pada masa akan datang.

“PSAS juga turut melancarkan Inisiatif Digital Baharu iaitu Laman Web dan Dashboard CISEC bagi memperkasa pengurusan CISEC dan memudahkan pihak pengurusan membuat ramalan atau jangkaan serta mengenalpasti Continuous Quality Improvement (CQI),” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

PSAS komited rancakkan industri EV

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI