IPOH – Flat Sungai Pari setinggi 15 tingkat di Buntong yang menjadi mercu tanda kawasan itu selama lebih enam dekad bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Zaiteena Wan Nasir berkata, sebuah syarikat pemaju telah dilantik untuk membangunkan semula kawasan berkenaan yang merupakan tanah milik LPHP.
Menurut beliau, berdasarkan perancangan semasa, hanya dua bangunan warisan akan dikekalkan manakala bangunan lain termasuk flat 15 tingkat akan dirobohkan sebelum digantikan dengan pembangunan baharu.
“Tanah itu milik LPHP dan kita telah melantik pemaju untuk membangunkan kawasan tersebut.
“Pemaju akan menentukan sama ada kerja-kerja perobohan dilaksanakan sendiri atau diserahkan kepada kontraktor lain,” katanya pada sidang media selepas Program Aspirasi Hartanah Bumiputera Negeri Perak 2026 di sini, pada Rabu.
Hadir sama merasmikan program berkenaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perancangan pembangunan semula Flat Sungai Pari yang kini tidak lagi didiami.

Zaiteena berkata, kerja-kerja perobohan tidak dapat dimulakan serta-merta kerana pemaju perlu terlebih dahulu mendapatkan Kebenaran Merancang (KM) daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Katanya, proses itu turut melibatkan permohonan pertukaran zon guna tanah yang dijangka mengambil sedikit masa sebelum kelulusan diperoleh.
“Sebagai langkah awal, pemaju akan memasang pagar keselamatan atau *hoarding* di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan orang awam sementara menunggu semua kelulusan yang diperlukan,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menetapkan tempoh pelaksanaan kerja perobohan kerana ia bergantung kepada proses kelulusan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Saarani dalam sidang media sama menegaskan sebarang tindakan pembangunan perlu dilaksanakan mengikut peraturan serta mengambil kira kepentingan semua pihak.
“Sebarang tindakan mesti dilakukan secara sah di sisi undang-undang,” katanya.
Flat Sungai Pari yang dibina pada 1963 pernah menjadi antara mercu tanda bandar raya Ipoh sebelum dikosongkan secara berperingkat susulan kebimbangan terhadap keadaan strukturnya. -MG Perak


