GPMS gesa KPM, polis bertindak segera kes buli seksual calon SPM

GEORGE TOWN – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Pulau Pinang menggesa Kementerian Pendidikan (KPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyegerakan tindakan berhubung kes buli seksual digital membabitkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima di negeri ini.

Pengerusinya, Muhammad Danial Alimin berkata, perbuatan menyunting gambar mangsa menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebelum menyebarkannya melalui poster dan media sosial bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah merupakan satu bentuk keganasan seksual digital yang mencabuli maruah, privasi dan hak seorang pelajar.

Menurutnya, isu itu tidak boleh dianggap sebagai gurauan remaja kerana memberi kesan besar terhadap emosi dan masa depan mangsa yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Tekanan emosi akibat kejadian sebegini berpotensi memberi kesan besar terhadap keyakinan diri, kesejahteraan mental dan pencapaian akademik seseorang pelajar.

“Malah, perkara ini bukan hanya melibatkan aspek disiplin atau undang-undang, tetapi turut memberi kesan mendalam terhadap kesihatan mental mangsa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Muhammad Danial, KPM perlu menjalankan siasatan menyeluruh termasuk memperkukuhkan prosedur pengendalian kes buli seksual, gangguan siber di sekolah serta memastikan mangsa menerima sokongan kaunseling.

Muhammad Danial.

“Ini kerana mangsa yang berdepan penghinaan secara terbuka, penyebaran bahan memalukan, gangguan berulang berisiko mengalami trauma, hilang keyakinan diri, kebimbangan serta mengasingkan diri daripada keluarga dan masyarakat.

“Sehubungan itu, mangsa perlu diberikan sokongan psikososial dengan segera selain ruang untuk pulih, didengari dan diyakinkan bahawa dia tidak bersendirian menghadapi dugaan berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat supaya tidak menyebarkan semula gambar, poster atau kandungan berkaitan mangsa kerana tindakan itu boleh menyebabkan trauma berulang dan menambahkan tekanan yang ditanggung.

“Kita menggesa Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang memberi keutamaan terhadap siasatan kes berkenaan memandangkan menurut laporan media, keluarga mangsa telah membuat tiga laporan polis.

“MCMC juga perlu mengambil tindakan pantas terhadap penyebaran kandungan yang melanggar undang-undang termasuk akaun palsu dan bahan digital yang digunakan untuk mengaibkan mangsa,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Muhammad Danial menggesa KPM memperluaskan pendidikan berkaitan keselamatan digital, penggunaan AI secara beretika, kesedaran mengenai buli seksual serta budaya saling menghormati dalam kalangan pelajar.

“Teknologi AI sepatutnya dimanfaatkan untuk pendidikan, inovasi dan pembangunan masyarakat, bukannya dijadikan alat untuk memfitnah, mengaibkan atau mengeksploitasi seseorang.

“Generasi muda perlu memahami bahawa setiap tindakan di alam digital mempunyai tanggungjawab moral dan implikasi undang-undang,” katanya.

MalaysiaGazette semalam melaporkan seorang calon SPM didakwa menjadi mangsa buli seksual digital selepas wajahnya digunakan dalam imej suntingan berunsur lucah dan disebarkan melalui poster serta akaun media sosial palsu.

Remaja perempuan itu berdepan gangguan berulang sejak April lalu apabila maklumat peribadi termasuk nama, kelas dan nombor telefonnya turut tersebar, menyebabkan dia mengalami tekanan emosi serta malu untuk ke sekolah dalam daerah Seberang Perai Tengah.

Ibu mangsa yang hanya dikenali sebagai Nur, 46, merayu supaya pihak berkuasa mempercepatkan siasatan bagi mengenal pasti individu bertanggungjawab selepas mendakwa anaknya sudah membuat tiga laporan polis berkaitan kejadian berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI