IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengingatkan semua warganya supaya menggunakan platform media sosial secara profesional, beretika serta memberi impak positif kepada masyarakat tetapi tidak mengulas secara terbuka mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan jabatan itu.
Pengarahnya, Datuk Sayani Saidon berkata, anggota bomba khususnya yang terlibat dalam operasi SAR tidak digalakkan mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan berbalas hujah dengan netizen khususnya di media sosial kerana tindakan itu boleh mencalarkan imej jabatan.
Menurutnya, hanya pegawai yang diberi kuasa, khususnya ketua operasi, dibenarkan memberi penjelasan kepada media berhubung sesuatu operasi.
“Media sosial ini kalau digunakan dengan baik, baiklah tujuannya. Cumanya, dalam kalangan anggota SAR yang terlibat, mereka tidak perlu memberi komen-komen (di media sosial).
“Biar itu antara hos podcast dengan jemputannya, tapi di pihak kami, sekiranya dijemput hanya ketua dalam operasi SAR boleh memberi komen dalam media seperti televisyen, kita tak ada halangan.
“Bagaimanapun, untuk berbalas hujah dengan netizen di dalam podcast, memang kita tak menggalakkan, tetapi kadang-kadang tak boleh nak kawal juga,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Julai Tahun 2026 di Ibu Pejabat JBPM Perak, Meru Raya, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sayani berkata, pihaknya akan memberi peringatan dan teguran sekiranya terdapat anggota di bawah seliaannya yang terlibat dalam perbincangan atau perdebatan di media sosial mengenai operasi jabatan.
Beliau bagaimanapun memaklumkan, setakat ini warga JBPM Perak masih mematuhi peringatan tersebut, manakala individu yang menghadiri podcast seperti yang tular sebelum ini bukan daripada pihaknya.
“Kalau anggota saya sendiri yang terlibat, memang saya akan memberi peringatan, teguran. Rata-rata di Perak ini kita masih lagi terkawal. Cuma yang ada hadir podcast itu bukan dari Perak.
“Saya tak nak komen banyaklah tentang itu sebab kita dah memang buat peraturan untuk berbalas hujah dengan netizen ini kita tak mahu. Bercakap tentang operasi sahaja, saya benarkan,“ jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


