IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menerima 12,332 panggilan kecemasan sepanjang tahun lalu.
Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, panggilan kecemasan itu merangkumi 4,259 kes kebakaran, 8,044 kes penyelamatan, 12 tugas khas serta 17 panggilan palsu.
Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 5,889 panggilan kecemasan telah diterima membabitkan 2,661 kes kebakaran, 3,220 kes penyelamatan dan lapan tugas khas.
“Statistik ini, jelas menunjukkan bahawa peranan anggota bomba pada hari ini semakin berkembang. Operasi menyelamat kini jauh mengatasi operasi kebakaran.
“Kita membantu mangsa kemalangan jalan raya, mangsa banjir, mangsa lemas, mangsa yang terperangkap, menangani ancaman haiwan berbisa, operasi mencari orang hilang dan juga membantu individu yang mengalami tekanan hidup.
“Ini membuktikan bahawa anggota bomba bukan sahaja dikenali sebagai pemadam kebakaran, malah merupakan penyelamat masyarakat dalam pelbagao bentuk kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Julai Tahun 2026 di Ibu Pejabat JBPM Perak, Meru Raya, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Sayani turut mengingatkan anggota supata tidak terlalu selesa dengan kejayaan yang dikecapi.
“Sebaliknya, kejayaan ini hendaklah menjadi pemangkin untuk kita terus memperbaiki kelemahan, meningkatkan kompetensi dan memperkukuhkan kesiapsiagaan dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks pada masa hadapan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


