Hospital baharu di Kampar akan rangsang pembangunan setempat – Mohd Azlan

KAMPAR – Pembinaan Hospital Kampar baharu di atas tanah seluas 11.72 hektar di Changkat Baru disifatkan sebagai satu berita baik, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Mohd Azlan Helmi Helmi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak berkata kewujudan hospital itu nanti bukan sahaja akan memudahkan urusan orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan berkualiti malah turut memberi impak pembangunan ekonomi setempat. 

“Mewakili masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tualang Sekah, saya amat mengalu-alukan cadangan pembinaan hospital berkenaan yang mana ia akan memudahkan urusan seharian masyarakat di bawah Parlimen Kampar ini. 

“Juga saya percaya, pembinaanya kelak akan memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat. Ia secara tidak langsung, akan berlaku pembangunan di DUN Tualang Sekah.

“Sememangnya ini perkara yang saya mahukan untuk masyarakat di sini iaitu di samping bakal memperoleh perkhidmatan kesihatan yang baik, ia juga akan membawa pembangunan yang rancak ke sini,” katanya. 

Mohd Azlan berkata beliau bersedia untuk menyokong cadangan pembinaan Hospital Kampar yang baharu itu sehingga ia dapat direalisasikan. 

Beliau sebelum itu ditemui pemberita pada sidang media bersempena dengan lawatan tapak cadangan hospital tersebut oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi negeri Perak, A. Sivanesan. 

Hadir sama, Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin dan Pengarah Hospital Kampar, Dr Khairul Azha Azam. 

Terdahulu dalam lawatan itu, Sivanesan berkata bangunan Hospital Kampar yang baharu dijangka siap dalam tempoh lima tahun lagi susulan tapak cadangan pembinaannya telah dikenal pasti. 

Katanya lokasi yang terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari tapak asal Hospital Kampar itu berada di antara kawasan Parlimen Kampar dan Gopeng. – MGPerak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI