i-MInD 2024 manifestasi KPM perkasa inovasi dan penyelidikan

IPOH – Persidangan Antarabangsa Minda Inovasi Dinamik (i-MInD) 2024, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), merupakan manifestasi komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dalam memperkasa pendidikan melalui inovasi dan penyelidikan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, persidangan yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 sehingga 25 September ini menyediakan platform yang unik kepada para pendidik meneroka inovasi digital dan menjalankan penyelidikan.

Menurut beliau, ia sekali gus memperkukuhkan peranan pendidik sebagai pakar dan pengamal refleksi ekoran Persidangan i-MInD 2024 menghimpunkan peserta dari dalam luar negara di mana ia mewujudkan ruang untuk pertukaran idea dan amalan terbaik yang dinamik.

“Seiring dengan prinsip Malaysia MADANI, inovasi merupakan salah satu tiang utama yang berperanan penting dan mampu mengubah masyarakat Malaysia.

i-MInD 2024 manifestasi KPM perkasa inovasi dan penyelidikan
Timbalan Rektor Kanan, Pusat Kecemerlangan Akademik Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Anis Alisya Abdullah ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Minda Inovasi Dinamik (i-MInD) 2024 di Hotel Cuasarina@Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 23 SEPTEMBER 2024.

“Melalui i-MInD 2024, KPM bersama-sama IPGM menyokong usaha memperkasakan para pendidik dalam mempercepat pembangunan pendidikan negara.

“Saya juga percaya melalui platform ini, kita dapat menanam nilai-nilai positif dan menjana idea-idea baharu yang inovatif untuk memajukan bidang Pendidikan,” katanya pada perasmian Persidangan i-MInD 2024, di Hotel Cuasarina@Meru, di sini, pada Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Rektor Kanan, Pusat Kecemerlangan Akademik IPGM, Anis Alisya Abdullah.

Timbalan Rektor Kanan, Pusat Kecemerlangan Akademik Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Anis Alisya Abdullah ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Minda Inovasi Dinamik (i-MInD) 2024 di Hotel Cuasarina@Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 23 SEPTEMBER 2024.

Tambah Fadhlina, persidangan i-MInD 2024 bukan sekadar perhimpunan biasa malah merupakan pemangkin kepada idea-idea transformasi di mana pendidik, penyelidik, dan pembuat dasar boleh berkongsi pandangan, bekerjasama dalam projek-projek baharu, yang berpotensi membawa perubahan lebih bermakna.

“Inovasi dan penyelidikan yang dipersembahkan mempunyai potensi membentuk masa depan pendidikan bukan sahaja di Malaysia tetapi turut memberikan impak global.

“Melalui penyelidikan berkesan dan inovasi yang relevan, kita dapat merangka penyelesaian yang mampu menangani pelbagai cabaran dalam bilik darjah, sekali gus memperkasakan ekosistem pendidikan secara menyeluruh,” katanya.

Mengulas lanjut Fadhlina berkata, pembinaan kepercayaan yang teguh dalam kalangan pendidik, murid, ibu bapa, dan masyarakat merupakan aspek penting dalam strategi pendidikan negara.

Timbalan Rektor Kanan, Pusat Kecemerlangan Akademik Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Anis Alisya Abdullah menyantuni para pelajar pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Minda Inovasi Dinamik (i-MInD) 2024 di Hotel Cuasarina@Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 23 SEPTEMBER 2024.

Jelas beliau, ia memerlukan usaha berterusan dalam memupuk komunikasi yang terbuka, memastikan ketelusan, dan mengekalkan akauntabiliti dengan erjasama erat antara semua pihak berkepentingan merupakan kunci kejayaan sistem pendidikan negara.

“KPM menggalakkan kerjasama pada semua peringkat, terutamanya antara sekolah, pendidik, dengan masyarakat.

“Persidangan i-MInD 2024 mencerminkan semangat kerjasama ini, dengan menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang untuk mencipta satu platform pertukaran idea dan amalan terbaik yang melangkaui batasan sempadan,” katanya.

i-MInD 2024 platform bertukar pandangan dan ilmu – Peserta

Sementara itu, Pensyarah Universiti Pendidikan Indonesia Bandung, Non Dwi Shiera, 33, ketika ditemui berkata, penganjuran i-MInD 2024 bukan hanya memberi peluang kepada institusi pendidikan dalam Malaysia malah juga negara jiran seperti Indonesia.

Menurutnya, peluang yang diberikan kepada dia dan rakan-rakan pensyarah membentang serta mempamer produk ciptaan mereka dikenali sebagai ‘Edukit Multiliterasi’ amat bermanfaat dan berharga.

Pensyarah Universiti Pendidikan Indonesia Bandung, Non Dwi Shiera (kiri) melayan peserta yang melawat reruai pamerannya  pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Minda Inovasi Dinamik (i-MInD) 2024 di Hotel Cuasarina@Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 23 SEPTEMBER 2024.

“Acaranya amat memuaskan dan kami dari Indonesia sangat senang berada di sini berkongsi ‘Edukit Multiliterasi’ yang merupakan bahan mengajar di peringkat awal hingga tadika.

“Aktiviti yang ada di i-MInD 2024 juga membantu kami untuk terus berinovasi dan mengembangkan pendidikan di Indonesia serta negara-negara jiran,” katanya.

Seorang lagi peserta i-MInD 2024, Khairul Nizam Burhanudin, 22, dari IPG Kampus Kent, Tuaran Sabah berkata, persidangan berkenaan bukan sekadar bertukar ilmu tetapi juga membuka ruang untuk mereka berkongsi idea inovatif dan kreativiti masing-masing.

Khairul Nizam Burhanudin

“Ini kali pertama saya sertai i-MInD dan saya dapati, banyak idea dan inovasi menarik yang boleh kami kongsikan selaku bakal guru apabila membuat bahan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah nanti.

“Seperti hari ini, kami perkenalkan Kit InTangon yang berkonsepkan lihat cerita yang berupaya membantu masalah murid dalam penguasaan bahasa Kadazan Dusun,” katanya.

Pelajar IPG Ilmu Khas, Cheras, Iris Yong Hua Xiu, 23, pula berharap agar persidangan i-MInD 2024 dapat diteruskan pada masa akan datang kerana memberi manfaat kepada peserta.

Iris Yong Hua Xiu

“Saya harap pendedahan yang diterima menerusi i-MInD akan menggalakkan lagi inovasi dalam sistem pembelajaran termasuk kepada pelajar berkeperluan khas.

“Kumpulan saya berkesempatan membentangkan hasil kerja iaitu Produk Flyit yang boleh digunakan membantu pelajar pendidikan khas memahami konsep pembundaran matematik dengan kebih mudah,” katanya.

Persidangan i-MInD 2024 bertemakan ‘Membangunkan Minda MADANI dan Karakter melalui Pendidikan’ berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 September di Pusat Konvensyen Casuarina di Meru, Ipoh.

Timbalan Rektor Kanan, Pusat Kecemerlangan Akademik Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Anis Alisya Abdullah bergambar bersama peserta pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Minda Inovasi Dinamik (i-MInD) 2024 di Hotel Cuasarina@Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 23 SEPTEMBER 2024.

Pelbagai acara disusun sepanjang ia berlangsung termasuklah, Pembentangan i-MInD Inovasi, Pameran i-MInD Inovasi, Pembentangan Kertas Penyelidikan Seminar Penyelidikan Antarabangsa (SPPA), i-MInD Hibur, i-MInD Sembang dan lain-lain lagi. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI