Ribut Bercham: Kerugian lebih RM1.2 juta, penduduk terjejas meningkat

IPOH – Jumlah kerugian yang dialami mangsa dalam kejadian ribut yang melanda di beberapa kawasan perumahan di Bercham, di sini pada petang Jumaat lalu dianggarkan bernilai melebihi RM1.2 juta. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bercham, Ong Boon Piow berkata, angka tersebut diperoleh berdasarkan anggaran kasar kerosakan yang direkodkan selepas kejadian yang menjejaskan lebih 200 rumah di kawasan berkenaan.

Katanya, berdasarkan maklumat terkini, jumlah mangsa yang terjejas juga meningkat kepada 1,131 orang melibatkan 438 keluarga setakat ini, berbanding anggaran awal iaitu sekitar 250 orang.

“Data terkini yang diperoleh menunjukkan jumlah mangsa meningkat dengan ketara kepada 1,131 orang dan maklumat itu dikemas kini kepada saya pagi Isnin.

“Peningkatan ini berlaku kerana terdapat rumah yang tidak didiami, atau pemilik rumah dan penyewa yang sebelum ini berada di luar kawasan, urusan kerja atau bercuti. 

“Namun mereka hanya kembali ke rumah selepas kejadian sebelum tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi pasca ribut di Bercham, di sini, pada Selasa. 

Menurut beliau, kerajaan Persekutuan telah menyalurkan bantuan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 bagi setiap keluarga terjejas menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), manakala kerajaan negeri menyediakan bantuan RM300 melalui Pejabat Penghulu Mukim.

Boon Piow  berkata, setakat ini sebanyak 15 laporan tambahan berkaitan kerosakan harta benda telah diterima pihaknya melalui Pejabat Penghulu Tanjung Rambutan, manakala enam lagi dikemukakan terus kepada Pejabat DUN Bercham.

Tambah beliau, sebelum ini kawasan berkenaan telah diisytiharkan sebagai kawasan bencana, namun tiada mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Jelas beliau, ini kerana kebanyakan penduduk memilih untuk tinggal bersama ahli keluarga, rakan-rakan atau menginap di hotel bajet sementara proses pembersihan dan pembaikan rumah dijalankan. 

Mengulas mengenai tahap kerosakan rumah, Boon Piow memberitahu, sebahagian besar mangsa telah mengambil inisiatif membaiki kerosakan kecil seperti bumbung tercabut menggunakan khidmat kontraktor sendiri.

“Bagaimanapun terdapat sebahagian kecil rumah yang pemiliknya benar-benar tidak mampu membiayai kos pembaikan kerana tidak mempunyai perlindungan insurans dan masih menunggu bantuan lain.

“Mujurlah terdapat beberapa syarikat yang menyatakan kesediaan membantu membaiki rumah berkenaan, namun mereka perlu membuat penilaian terlebih dahulu,” katanya.

Pada masa sama beliau memaklumkan bekalan elektrik di hampir semua kawasan yang terjejas telah pulih sepenuhnya selepas kerja-kerja pemulihan dijalankan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) secara berperingkat. 

Kata beliau, setakat ini dimaklumkan hanya beberapa rumah mengalami masalah litar pintas, manakala kerja pemasangan semula lampu jalan yang rosak sedang giat dilaksanakan oleh kontraktor TNB.

Tambah Boon Piow, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah meminta data lengkap mangsa terlibat bagi meneliti bentuk bantuan yang bersesuaian termasuk cadangan membina semula sebuah rumah yang mengalami kemusnahan sepenuhnya.

“Jika diimbas kembali, kejadian seumpama ini pernah berlaku kira-kira empat tahun lepas iaitu semasa menjelang sambutan Tahun Baru Cina. 

“Ketika itu berlaku kejadian ribut dalam kawasan DUN Bercham yang melibatkan kawasan di Kampung Tawas, Tasik Damai, dan kawasan sekitarnya,” katanya lagi.  – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Ribut Bercham: Polis terima 492 laporan, tiada kes kecurian

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI