Ribut Bercham: Polis terima 492 laporan, tiada kes kecurian

IPOH – Polis menerima sebanyak 492 laporan melibatkan kerosakan harta benda susulan kejadian ribut yang melanda beberapa kawasan di Bercham, di sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 373 laporan diterima daripada penduduk di zon-zon yang terkesan akibat bencana berkenaan.

“Kawasan yang terjejas dibahagikan kepada lima zon, iaitu zon satu di Bercham Idaman, Anjung Bercham Utara (zon dua), Kampung Bercham (zon tiga), Taman Pusat Bercham (zon empat) dan Kampung Tersusun Tasek (zon lima)

“Sebanyak 119 lagi laporan polis diterima daripada individu di luar kawasan bencana yang melibatkan kerosakan harta benda dan lain-lain kejadian yang dilaporkan oleh pengadu.

“Dan berdasarkan kepada data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 5 petang semalam (Sabtu), seramai 349 keluarga telah mendaftar sebagai mangsa kejadian ribut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Balai Polis Bercham, di sini, pada Ahad.

Pada masa sama, Muhammad Najib berkata, setakat ini tiada sebarang laporan jenayah atau kes kecurian diterima pihak polis membabitkan kawasan-kawasan yang terjejas dengan bencana berkenaan.

“Semalam kita merancang untuk menutup kawasan terjejas pada jam 7 malam, namun disebabkan kerja-kerja pembersihan masih berjalan, kita memberi kelonggaran sehingga jam 9 malam.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada laporan kejadian jenayah ataupun barang yang dicuri di kawasan terlibat,” jelasnya.

Beliau berkata, polis akan terus memperketat kawalan keselamatan terutama pada waktu malam di lima zon yang dipantau bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Muhammad Najib berkata, penduduk masih dibenarkan memasuki kawasan kediaman masing-masing untuk membersihkan rumah, namun pemeriksaan akan dilakukan bagi memastikan individu yang memasuki kawasan itu adalah pemilik atau penghuni sebenar.

“Kita khuatir jika ada pihak sengaja mengambil kesempatan dengan berpura-pura mengemas rumah tetapi sebenarnya berniat melakukan kecurian.

“Sebab itu, pada waktu malam kita akan pantau dengan lebih ketat, khususnya di kawasan seperti Anjung Bercham yang masih mengalami gangguan bekalan elektrik,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, seramai empat individu telah diperiksa setakat jam 1 pagi Sabtu, terdiri daripada seorang kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan tiga kontraktor Telekom Malaysia yang menjalankan tugas di kawasan terjejas.

Media melaporkan, sebanyak 240 rumah di beberapa kawasan sekitar Bercham terjejas akibat kejadian ribut yang melanda susulan cuaca hujan lebat berterusan serta angin kencang, pada petang Jumaat.

Antara kawasan yang terjejas adalah Dataran Tasek Timur 6, Hala Tasek Timur 1, Lorong Bercham 19, Hala Tasek Timur 34, Laluan Tasek Timur 15, Lintasan Tasek Timur 1 dan Lintasan Tasek Timur 3. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lebih 200 rumah terjejas akibat ribut di Ipoh

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI