Integriti: PDRM sedia semak semula modul latihan anggota, pegawai

IPOH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia untuk menyemak semula modul latihan untuk rekrut baharu susulan peningkatan soal integriti pegawai dan anggota polis kebelakangan ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, langkah itu sebagai usaha memantapkan kualiti dan nilai integriti badan unit beruniform itu.

“Modul rekrut baharu yang ada ketika ini turut meliputi dengan modul keagamaan bagi yang beragama Islam dan modul moral untuk yang bukan beragama Islam.

“Jadi, berkenaan dengan modul berkenaan, saya berpandangan jika hendak diubah, ia memerlukan suatu kajian yang sangat tepat,” katanya.

polis integriti PDRM modul latihan untuk rekrut baharu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain
Suasana sekitar Majlis Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2024 di Markas Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 FEBRUARI 2024.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Tahun 2024 di Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah PGA Jabatan KDNKA, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi serta Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri

Ujian Mara Lasak itu disertai 21 pasukan melibatkan 798 pegawai dan anggota daripada pelbagai elemen KDNKA.

Pasukan dari Unit Tindakan Khas (UTK) dinobatkan sebagai johan ujian sementara pasukan Batalion 5 PGA Simpang Renggam dan Batalion 1 PGA Ulu Kinta masing-masing diumumkan sebagai naib johan dan tempat ketiga.

Dalam pada itu, Razarudin memberitahu, cadangan itu dilihat tidak akan menyukarkan atau memperketatkan urusan PDRM dalam merekrut pegawai dan anggota polis baharu.

Jelas beliau, segala kriteria berkenaan pengambilan itu dibuat mengikut ketetapan seperti meliputi soal tapisan fizikal, keselamatan dan kesihatan serta Ujian Sistem Pemprofilan Rekrutmen PDRM atau SPiER-PDRM yang dikendalikan sendiri oleh Kementerian Dalam Negeri.

polis integriti PDRM modul latihan untuk rekrut baharu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (kiri) menerima sebilah kapak sekali gus merasmikan Majlis Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2024 di Markas Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 FEBRUARI 2024.

Tambah Razarudin lagi, pihaknya tidak akan bertoleransi dengan mana-mana anggota atau pegawai yang didapati melanggar undang-undang negara.

“Walaupun PDRM mempunyai kuasa, akan tetapi pada saya dan kepimpinan tertinggi, kita ‘zero tolerance’ dalam perkara-perkara sebegini.

“Seperti yang selalu saya nyatakan, kita tidak akan bersengkongkol, berat sebelah, atau memenangi pihak yang melakukan kesalahan walaupun melibatkan pegawai dan anggota kita,” ujarnya lagi.

Razarudin sebelum itu diminta mengulas berkenaan cadangan Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) yang meminta agar modul latihan pasukan PDRM ditambah baik.

Presiden RESPA, Datuk Meor Che Hussein, dilaporkan berkata modul latihan itu wajar ditambah baik dengan memberi lebih penekanan kepada pengukuhan mental, kerohanian, disiplin dan integriti. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pegawai polis dituduh bunuh calon SPM: Mahkamah tetapkan tarikh baru

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI