IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan Ipoh bukan sekadar membawa tanggungjawab sebagai ibu negeri sebaliknya juga menjadi cerminan kepada semua pihak.
Menurut beliau, Ipoh memikul peranan sebagai cerminan pertama kepada Negeri Perak sama ada kepada pelabur, pelancong, komuniti perniagaan, pelajar, penjawat awam mahupun rakyat dari daerah lain yang datang berurusan di bandar raya ini.
“Sebab itu pada saya, kemajuan Ipoh tidak boleh hanya dinilai melalui bangunan baharu, jalan raya yang sibuk atau kawasan komersial yang berkembang.
“Kemajuan sebenar perlu dilihat apabila kita mampu beri perkhidmatan yang cekap, apabila kita mampu menjaga kebersihan, warganya berasa selamat, rakyat merasai adanya peluang ekonomi, serta kemampuan Ipoh mengekalkan identiti dan jiwanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Ulang Tahun Bandaraya Ipoh Ke-38 di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.
Saarani berkata, dalam kerangka Perak Sejahtera 2030, Ipoh mempunyai kedudukan penting sebagai pemacu agenda pembangunan negeri yang makmur, inklusif dan mampan.
Jelas beliau, kerajaan negeri berhasrat agar Ipoh berkembang sebagai bandar raya yang teratur, bersih, cekap, mesra rakyat dan berdaya saing, tetapi pada masa yang sama tidak kehilangan nilai yang menjadikannya dekat di hati ramai orang.
“Kita tidak mahu Ipoh berubah menjadi bandar yang gah pada pandangan mata, tetapi kehilangan rasa dan identitinya.
“Sebaliknya, kita mahu Ipoh terus berkembang sebagai bandar yang moden tanpa melupakan sejarah, maju tanpa meninggalkan komuniti dan membangun tanpa mengorbankan kualiti kehidupan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut Saarani berkata, 38 tahun lalu apabilaIpoh diangkat sebagai sebuah bandar raya, ia menjadi satu pengiktirafan kepada perjalanan panjang sebuah bandar yang pernah memainkan peranan besar dalam perkembangan ekonomi negara.
Jelas beliau, dalam tempoh berkenaan, Ipoh telah melalui pelbagai perubahan daripada bandar yang dibentuk oleh sejarah perlombongan bijih timah kepada ibu negeri yang semakin menyerlah dengan kekuatan pelancongan, gastronomi, warisan, seni, budaya dan kreativiti.
“Kalau dinding bangunan lama di Ipoh mampu berbicara, pasti terlalu banyak kisah yang boleh diceritakan tentang generasi terdahulu yang membangunkan ekonomi, tentang keluarga yang membina kehidupan, dan tentang sebuah bandar kecil yang akhirnya menempa nama sehingga dikenali jauh di serata benua.
“Namun, sambutan ulang tahun ini tidak wajar dilihat sebagai majlis meraikan usia bandar raya semata-mata. Ia perlu menjadi ruang untuk kita menilai perjalanan Ipoh, memahami cabaran semasa, serta melihat dengan lebih jelas arah pembangunan yang mahu dibawa di bawah Perak Sejahtera 2030,” katanya. -MG Perak


