KAMPAR – Tindakan mencurigakan seorang pemandu lori mengisi minyak sebanyak 22 kali di sebuah stesen minyak yang sama dalam tempoh sejam akhirnya membongkarkan aktiviti penyelewengan diesel di Kampar semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamaluddin Ismail berkata, kejayaan tersebut hasil risikan yang selama seminggu oleh anggota penguat kuasa ke atas aktiviti pembelian minyak diesel oleh sebuah lori tangki secara berulang-ulang di stesen minyak sekitar Kampar.
Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak menjalankan serbuan di bawah Ops Tiris kira-kira 11.15 malam itu.
“Ketika kejadian, anggota penguat kuasa mengesan sebuah lori tangki yang melakukan pengisian minyak diesel sebanyak 22 kali melalui dua nozel pam serentak di stesen minyak yang sama lebih kurang satu jam.
“Curiga dengan aktiviti tersebut, anggota penguat kuasa bertindak menyerbu dan melakukan pemeriksaan ke atas lori berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga tempatan berumur 38 tahun yang disyaki pemandu berada berhampiran lori.
“Pemandu lori terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barang kawalan apabila diminta. Pemeriksaan lanjut mendapati tangki asal lori juga telah diubah suai ,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, pemeriksaan turut dilakukan ke atas stesen minyak tersebut dan mendapati lori berkenaan telah melakukan sebanyak 22 kali pengisian dan setiap transaksi pembelian berjumlah RM500,” ujarnya.
Susulan itu, Kamalludin berkata, pihaknya mengambil keterangan pekerja stesen minyak terbabit dan pemandu lori ditahan untuk siasatan lanjut.
“Sebuah lori tangki, peralatan pam penyedut, dokumen berkaitan dan 5,000 liter cecair minyak diesel yang berada di dalam tangki lori disita yang dianggarkan bernilai RM172,750,” jelasnya.
Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – MG Perak