Isu dewan makan MRSM Taiping harus jadi iktibar – Saarani

IPOH – Kerajaan Negeri Perak meminta semua pengendali makanan untuk mematuhi garis panduan kebersihan dewan makan di semua sekolah berasrama di negeri itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, isu keracunan makanan yang membabitkan 62 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping seharusnya dijadikan iktibar semua pihak.

Ujarnya, beliau tidak menolak kemungkinan isu sama boleh berlaku di mana-mana dewan sekolah berasrama sama ada di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM) mahupun Jabatan Pendidikan Negeri.

dewan makan MRSM Taiping Saarani Perak dewan makan sekolah berasrama negeri
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (dua, kiri) menyerahkan plak penghargaan ketika hadir ke Majlis Perasmian Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2024 di perkarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 SEPTEMBER 2024.

“Semua pihak harus mengambil perhatian pertama, dalam soal kebersihan di dapur dan dewan makan di institusi pendidikan, kedua kualiti makanan yang disediakan.

“Pengendali dewan makan harus mematuhi menu yang disediakan sebagaimana yang dipersetujui dalam tender. Dan ia tidak boleh kurang daripada itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Sabtu.

Saarani sebelum itu diminta mengulas berkenaan laporan media berkenaan kejadian keracunan makanan membabitkan lebih 60 pelajar di MRSM Taiping, baru-baru ini.

Kesemua pelajar yang berusia antara 16 hingga 17 tahun itu mempunyai sejarah makan di dewan makan MRSM berkenaan sebelum mengalami gejala sakit perut, cirit-birit, pening, loya, demam serta muntah.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ketika lawatan mengejut ke dewan makan berkenaan dilaporkan mendapati menu yang ditetapkan pihaknya tidak dipatuhi pengendali dewan selera itu.

Asyraf Wajdi mendapati, pengusaha sepatutnya menyediakan ikan tenggiri sebagai menu makan malam seperti ditetapkan MARA, namun sebaliknya hanya disediakan ikan goreng lain dipercayai ikan selayang.

Mengulas lanjut Saarani memberitahu, pematuhan menu sebagaimana yang telah dipersetujui dalam tender penting bagi tumbesaran dan pertumbuhan diri pelajar.

dewan makan MRSM Taiping Sarani Perak dewan makan sekolah berasrama negeri
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melawat reruai pameran ketika hadir ke Majlis Perasmian Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2024 di perkarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 SEPTEMBER 2024.

“Spesifikasi menu yang ditetapkan adalah bertujuan menyediakan makanan berzat bagi membina tubuh badan pada usia remaja itu. Jadi, ia tak sama macam makanan orang tua.

“Sebab itu saya nasihatkan, kepada mana-mana pembekal makanan bermasak ni hendaklah mematuhi spesifikasi makanan (menu) yang telah ditetapkan,” katanya.

Diminta mengulas dakwaan kenaikan harga bahan mentah yang dihadapi pembekal makanan bermasak di asrama, Saarani menjelaskan perkara itu harus dibawa ke meja rundingan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Mereka ada persatuan pembekal makanan yang boleh dibawa berbincang kalau dengan MARA dan KPM.Kontraktor jangan mudah-mudah membuat keputusan,” katanya lagi- MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Selain Taiping, ada lagi dewan selera MRSM abai kebersihan –  Asyraf Wajdi

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI