KUALA LUMPUR – Projek kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus menjadi perhatian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menegaskan tiada lagi ruang untuk kelewatan baharu selepas kerajaan membelanjakan sebahagian besar dana awam bagi projek bernilai RM11.22 bilion itu.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan rapi terhadap projek pembinaan LCS bagi memastikan lima kapal yang dirancang dapat diserahkan kepada TLDM mengikut tempoh ditetapkan tanpa melibatkan peningkatan kos kepada kerajaan.
Beliau berkata, setakat Disember 2025, kemajuan fizikal keseluruhan projek mencapai 75.73 peratus, manakala kapal pertama LCS1 mencatatkan kemajuan 82.90 peratus.
Menurut beliau, LCS1 telah berjaya menjalani ujian laut (sea going) pada 28 Januari lalu dengan kelajuan tujuh knot, namun tarikh penghantarannya terpaksa dipinda kepada Disember 2026, lewat empat bulan daripada jadual asal.
“LCS2 pula dijangka diserahkan pada Ogos 2027, manakala tarikh serahan LCS3 hingga LCS5 masih kekal mengikut kontrak iaitu April 2029,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Mas Ermieyati berkata, kelewatan projek itu berpunca daripada tuntutan audit teknikal oleh Naval Group Perancis yang memerlukan kerja semula (rework) terhadap hampir 4,000 komponen.
Katanya, antara kerja pembaikan yang perlu dilakukan termasuk penambahan kira-kira 50 kilometer kabel bagi LCS1 selepas pemeriksaan teknikal dilaksanakan.
“Apabila PAC turun sendiri ke kapal, kita dapat melihat sendiri betapa rumitnya kerja-kerja pembaikan dan penyempurnaan yang perlu dilakukan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, kos keseluruhan projek kekal pada nilai kontrak asal RM11.22 bilion dan kerajaan tidak akan menyalurkan sebarang tambahan dana akibat kerja semula atau pembaikan komponen usang.
“Segala implikasi kos akibat kerja semula atau pembaikan komponen usang ditanggung sepenuhnya oleh syarikat Lunas tanpa tambahan dana daripada kerajaan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, PAC memberi perhatian serius terhadap isu lesen eksport peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) selepas kerajaan Norway menarik balik dan membatalkan lesen eksport senjata berkenaan bagi projek LCS.
Mas Ermieyati berkata, tindakan itu berpotensi memberi kesan besar terhadap keupayaan tempur kapal LCS sekiranya kapal diserahkan kepada TLDM tanpa sistem persenjataan utama yang lengkap.
Katanya, kerajaan Malaysia telah melunaskan 95 peratus daripada dana awam bagi keseluruhan nilai kontrak perolehan NSM sebagai peluru berpandu permukaan ke permukaan (surface to surface missile) untuk projek berkenaan.
“Kerajaan perlu memastikan langkah mitigasi dan diplomasi diperkukuhkan bagi mendapatkan penyelesaian yang adil serta menjaga kepentingan fiskal negara,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu menggunakan sepenuhnya ruang rundingan atau prosiding perundangan bagi menuntut ganti rugi yang setimpal mengikut terma kontrak yang dipersetujui.
Sementara itu, PAC memaklumkan mekanisme pembayaran projek kini menggunakan kaedah Earned Value Management (EVM) bagi memastikan bayaran dibuat berdasarkan nilai kerja fizikal yang telah disahkan.
Menurut Mas Ermieyati, pendekatan itu menggantikan sistem pembayaran berasaskan milestone yang sebelum ini terdedah kepada risiko terlebih bayar.
Katanya, sebanyak 170 sistem utama dalam kapal LCS perlu diuji sebelum disahkan lengkap termasuk ujian penembakan meriam dan pensijilan kalis kejutan (shockproof).
Dalam pada itu, beliau berkata, dana projek kini dipantau secara mingguan oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan diasingkan sepenuhnya daripada aktiviti perniagaan lain syarikat seperti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
Beliau turut memaklumkan siasatan jenayah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan projek LCS masih berjalan, manakala siasatan tadbir urus telah selesai dengan beberapa nasihat diberikan kepada Kementerian Pertahanan pada Ogos 2023.
Dalam sidang media sama, Mas Ermieyati berkata, PAC mengemukakan enam syor termasuk mewajibkan Mindef dan TLDM mengemukakan laporan kemajuan setiap tiga bulan, memastikan kos tidak melebihi RM11.22 bilion serta menjamin lima kapal LCS diserahkan kepada TLDM mengikut garis masa ditetapkan.
“PAC tidak mahu projek ini kembali kepada episod lama. Apa yang penting, projek ini mesti diselesaikan dengan disiplin kewangan, ketelusan dan akauntabiliti,” katanya. – MalaysiaGazette


