AMPANG – Kerajaan akan berbincang dengan Kerajaan Sarawak berhubung langkah keselamatan susulan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) dilaporkan melebihi paras 500 di negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia membabitkan langkah keselamatan yang perlu dilaksanakan segera termasuk menutup sekolah dan pejabat dalam kawasan terjejas.
Menurut beliau, beberapa langkah bagi mengurangkan jerebu sudah diambil ketika ini termasuk pembenihan awan.
“Tetapi semua langkah yang perlu baik pembenihan awan, langkah-langkah lain yang patut kita lakukan, kita akan lakukan walaupun ini kesan daripada perkembangan di tempat lain.
“Kita terpaksa tanggung dan sabar sebentar. Saya doakan selamat bagi rakyat Serian dan juga Sarawak dan beberapa kawasan lain yang terkesan, ” katanya ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat dan solat sunat jenazah di Masjid Bukit Indah di sini hari ini.
Menjawab berhubung kemungkinan pengisytiharan darurat di Serian, Anwar berkata, tindakan itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut kemudian.
Semakan menerusi laman sesawang Sistem Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini mendapati Daerah Serian, Sarawak mencapai tahap `darurat’ apabila merekodkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 500 setakat pukul 2.00 petang tadi.
Daerah di Sarawak itu mencatatkan bacaan IPU 521 di mana aatu lagi lokasi yang merekodkan bacaan pada tahap bahaya ialah Kuching dengan bacaan IPU 311.
Terdapat dua lokasi merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat iaitu Samarahan (284) dan Sri Aman (235). – MalaysiaGazette


