IPOH – Setiap kali menjelang Aidilfitri, peniaga biskut raya merupakan antara individu yang sibuk menyiapkan tempahan serta menjalankan jualan demi memenuhi permintaan pelanggan.
Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ramai di antara mereka mengeluh jualan biskut raya semakin berkurangan dan masalah itu dilihat berlarutan sehingga tahun ini.
Pemerhatian MG Perak di beberapa premis perniagaan serta bazar Aidilfitri sekitar Ipoh mendapati jualan biskut raya masih suram meskipun berbaki 10 hari lagi sebelum 1 Syawal.
Pemilik Kisya Donuts, Zakina Mohamad Zohaidi yang sudah menjalankan perniagaan kuih dan biskut raya sejak 2008 berkata, jika dibuat perbandingan jualan pada tahun ini sedikit perlahan berbanding tahun lalu.
“Mungkin antara sebab pelanggan kurang membeli biskut raya pada tahun ini adalah kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Tambahan pula, awal bulan ini alam persekolahan baharu bermula dan ibu bapa lebih mengutamakan perbelanjaan untuk anak-anak mereka masuk ke sekolah,” katanya.
Dia yang menjual 10 jenis biskut raya menawarkan pakej potongan harga RM10 bagi setiap pembelian empat balang serta memberikan kotak eksklusif Kisya Cookies secara percuma kepada pelanggan.
Pengusaha Kuih Raya Orang Kampung, Nur Shuhadah Mohd Shukeri yang membuka reruai di tempat letak kereta pasar raya Mydin Meru pula berpendapat lazimnya pelanggan akan mula membeli produk mereka pada 10 malam terakhir Ramadan.
Mula aktif menjual kuih raya lebih 15 tahun lalu, Nur Shuhadah berkata, ini adalah tahun ketiga dia membuka reruai di pasar raya Mydin Meru dan turut membuka reruai Angsana Mall.
“Kalau nak dibezakan, jualan tahun lalu lebih okey dari tahun ini. Di sini kami ada menjual 30 jenis kuih tradisional dan premium.
“Justeru, kami berharap jualan kuih raya pada tahun ini akan mencapai sasaran dan lebih baik daripada tahun lalu,” jelasnya.
Katanya, setiap tahun biskut raya yang sering mendapat sambutan adalah Almond London, Tart Nanas dan Short Bread dan harga yang ditawarkan adalah RM28 untuk kuih tradisonal manakala untuk biskut raya premium berharga RM35 sebalang.
Sementara itu, rata-rata orang ramai yang ditemui lebih memilih untuk membuat biskut raya sendiri berbanding membeli di kedai.
Jurugambar bebas, Mohammad Faiz Izzuddin Zulkarnain, 29, berkata dia bersama isteri sudah membuat tinjauan harga biskut raya di merata tempat.
Katanya, kebanyakkan harga biskut raya berharga antara belasan ringgit sehingga mencecah puluhan ringgit sebalang.
“Dalam keadaan ekonomi tidak stabil lebih baik kami buat kuih raya kerana harga yang dijual agak mahal.
“Jadi, pada tahun ini saya dan isteri membuat keputusan untuk membuat sahaja biskut raya kerana ia lebih berbaloi dan menjimatkan, selain barang-barang membuat biskut seperti ini mudah diperoleh di mana-mana sahaja,” jelasnya.
Sememtara itu, artis kebudayaan, Mohamad Fairuzuan Azman, 29, pula berkata, mereka sekeluarga juga memilih untuk membuat kuih raya sendiri.
“Pada sesetengah orang mengikut keadaan ekonomi sekarang mungkin lebih berbaloi jika beli (kuih raya) namun kalau yang tidak mampu agak berat untuk membeli (kuih raya) pada zaman sekarang,” ujarnya – MG Perak
Artikel Berkaitan: