Kebergantungan import makanan negara perlu ditanggani

IPOH – Kebergantungan import makanan yang tinggi ketika ini perlu ditangani dengan baik sebagai usaha meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan rekod, kebergantungan negara terhadap import makanan mencecah RM75.5 billion pada tahun 2022.

Katanya, defisit perdagangan dalam sektor agro makanan juga menunjukkan trend peningkatan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Justeru itu katanya potensi sektor agro makanan perlu dikembangkan sebagai salah satu penyumbang utama ekonomi negara.

Jelas Anwar, bagi usaha itu fokus kerajaan kini berada dalam landasan yang tepat untuk memartabatkan sektor berkenaan.

“Prestasi pertumbuhan sektor agro makanan di negara kita kekal positif walaupun berdepan dengan ketidaktentuan pasaran ekonomi global dan domestik.

“Sumbangan signifikan sektor agro makanan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2022 iaitu RM173.9 bilion atau 11.5 peratus.

“Nilai tambah ini meliputi pengeluaran agro makanan dalam sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan,” katanya.

Teks beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Bertemakan ‘Keterjaminan Makanan Untuk Masa Depan’ penganjurannya antara lain sebagai manifestasi penghargaan kerajaan terhadap sumbangan pengeluar makanan, walaupun terkesan dengan pelbagai cabaran sektor agro makanan di peringkat global dan tempatan.

Dalam teks sama, Anwar berkata keterjaminan makanan diberikan tumpuan khusus dalam Agenda Mampan Belanjawan 2024 yang bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat.

Menurutnya, Belanjawan MADANI Kedua itu merupakan cerminan kepada usaha memperhebat kelangsungan industri agromakanan negara bagi meningkatkan pengeluaran makanan tempatan dan mengurangkan kebergantungan import. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

HPPNK penghargaan kerajaan kepada pengeluar makanan – PM

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI