Keindahan alam semula jadi batu kapur potensi besar Negeri Perak

KEINDAHAN dan kepelbagaian alam semula jadi di Perak menjadikannya sebagai sebuah negeri yang unik lebih-lebih lagi di dalam sektor pelancongan.

Meskipun Perak terus membangun, aspek pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah tidak ternilai itu masih menjadi tumpuan buat pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sebagaimana yang digariskan di dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, antara kekuatan atau potensi besar bagi negeri ini adalah kemewahan sertai kepelbagaian hidupan semula jadi.

warta kuari gunung batu kapur hutan batu kapur gua ipoh perak masoorat alam semula jadi khazanah
Pemandangan laluan masuk gua di Gunung Masoorat, Ipoh. foto MG PERAK

Daerah Kinta misalnya, di sebalik kepesatan pembangunan gedung-gedung konkrit, gunung dan bukit batu kapur yang berada di sekitarnya masih dipelihara dengan baik.

Di samping itu, keunikannya panorama di dalam gua batu kapur khususnya di sekitar Bandar Raya Ipoh juga menjadi salah satu tarikan geo-pelancongan yang turut memberi limpahan ekonomi baik kepada kerajaan negeri mahupun komuniti setempat.

Mantan Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohamed Shah Redza Hussein berkata, kerajaan negeri amat peka dengan usaha pemeliharaan bukit-bukit batu kapur termasuk menjadikan ia sebagai salah satu pakej kepada produk geo-pelancongan.

Menurut beliau, usaha berkenaan perlu dilipatgandakan dengan melibatkan pelbagai pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta serta organisasi bukan kerajaan (NGO).

Keindahan dinding batu kapur di dalam Gua Gunung Masoorat, Ipoh. foto MG PERAK

“Semua pihak harus bersedia untuk membantu kerajaan negeri dalam membangunkan eko-pelancongan atau geo-pelancongan khususnya di Lembah Kinta ini.

“Justeru itu, amat penting bagi semua termasuk bersama agensi dan jabatan kerajaan untuk sama-mana mewujudkan pelan pengurusan berintegrasi yang turut melibatkan pihak-pihak pemegang taruh.

“Usaha ini bagi memastikan semua pihak dapat faham akan tanggungjawab masing-masing dalam usaha memulihara dan memelihara keindahan kawasan batu kapur di Lembah Kinta,” katanya.

Pemandangan luar dinding batu kapur Gunung Masoorat yang berusia ratusan tahun, Ipoh. foto MG PERAK

Selain itu, Mohamed Shah Redza berkata, langkah ke arah pewartaan kawasan batu kapur sebagai kawasan hutan simpan kekal atau kawasan perlindungan merupakan antara cara terbaik dalam memelihara kelestarian khazanah alam itu.

Walau bagaimanapun jelas beliau, perkara itu perlu dibincangkan dengan semua pihak kerana terdapat beberapa lokasi sekitar kawasan batu kapur yang telah dizonkan sebagai kawasan pengkuarian dan perlombongan.

“Adalah sukar untuk kerajaan negeri menghentikan operasi pengkuarian yang sedang berjalan ketika ini kerana ia melibatkan perjanjian dan pajakan sejak puluhan tahun.

“Jika kerajaan negeri mengarahkan mereka hentikan operasi kuari, maka kerajaan negeri terpaksa menanggung nilai pampasan yang tinggi.

“Jadi sebab itu kerajaan negeri boleh berkerjasama dengan sama ada pemegang taruh atau pemegang konsesi itu untuk memelihara kawasan batu kapur yang sedia ada, khususnya kawasan yang penting,” katanya.

Mantan Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP), Mohamed Shah Redza Hussein.

Justeru Mohamed Shah Redza mengesyorkan agar usaha mewartakan kawasan hutan batu kapur sebagai kawasan perlindungan dilaksanakan ketika tamat tempoh sesuatu pajakan atau konsesi.

“Jadi usaha ini memerlukan peranan semua pihak dan pihak aktivis dan organisasi bukan kerajaan (NGO) juga bertanggungjawab untuk menasihat kepada pihak autoriti untuk terus melestarikan alam sekitar,” katanya.

Pada masa sama, Operator Masoorat Heritage Park Megat Mohd Shahrin Mohd Hamdan berkata kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memainkan peranan penting dalam memastikan khazanah alam itu sentiasa terpelihara.

Pemandangan udara suasana Ipoh yang kian pesat membangun dengan mempunyai pelbagai kemudahan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Perak. Foto MOHD ADZLAN, 12 NOVEMBER 2022.

Beliau yang terlibat dalam sektor eko-pelancongan di Gunung Masoorat, di Ipoh berkata pihaknya bersedia untuk duduk semeja dengan pihak kerajaan dalam memberi input-input terkini ke arah usaha berkenaan.

“Jika kita dapat duduk semeja dengan pihak kerajaan seperti melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), kita dapat memberi input dalam menambah baik garis panduan memelihara kawasan batu kapur di Lembah Kinta ini,” katanya lagi -MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

Sukar hentikan aktiviti kuari di hutan batu kapur kerana tempoh pajakan

MGPerak: Warta Hutan Batu Kapur Sebagai Kawasan Perlindungan Perlu Mekanisme Khusus

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI