IPOH – Pembinaan Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando di Ulu Kinta di sini, menjadi bukti komitmen kerajaan MADANI dalam memperkukuhkan keupayaan pasukan keselamatan negara bagi menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks dan dinamik.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia juga melambangkan kesungguhan kerajaan menyediakan kemudahan, infrastruktur dan persekitaran latihan terbaik demi memastikan kesiapsiagaan pasukan dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.
Katanya, pembinaan Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando merupakan pelaburan strategik negara yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan keupayaan pasukan 69 Komando bagi tempoh jangka panjang.
“Kem ini bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi simbol penghargaan negara terhadap jasa dan pengorbanan generasi pegawai serta anggota 69 komando yang telah berkhidmat sejak lebih lima dekad lalu.
“Di sinilah akan lahir generasi baharu warga 69 komando yang akan meneruskan legasi perjuangan pasukan ini.
“Di sinilah akan terus diperkukuhkan kepakaran, semangat juang dan kerjasama strategik demi memastikan Malaysia kekal aman, stabil dan berdaulat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan Majlis Perasmian Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando di Ulu Kinta, di sini, pada Selasa.
Majlis disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dengan diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail serta, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Menurut Saifuddin, kem berkenaan dibangunkan dengan kos melebihi RM206 juta di kawasan seluas 338.3 hektar dan telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2024 sebagai kompleks operasi, latihan serta pentadbiran yang moden dan komprehensif.
Beliau berkata, sepanjang lebih lima dekad penubuhannya, 69 Komando telah membuktikan keupayaan dalam pelbagai operasi berprofil tinggi negara.
Kata beliau, ia termasuk dalam menentang insurgensi komunis, insiden Al-Maunah pada 2000, Operasi Daulat di Lahad Datu pada 2013 serta penugasan khas negara berkaitan tragedi MH17 pada 2014.
Beliau berkata, pasukan itu juga memainkan peranan penting dalam operasi membanteras keganasan, menyelamatkan tebusan dan menangani pelbagai ancaman keselamatan berisiko tinggi.
“Setiap kali negara berhadapan ancaman yang menguji kedaulatan dan keselamatan, 69 Komando sentiasa berada di barisan hadapan.
“Saya turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga 69 Komando sama ada yang masih berkhidmat mahupun para veteran yang telah banyak berkorban demi negara. Jasa dan pengorbanan mereka akan sentiasa dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Perak berkenan rasmi Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando


