Kes penderaan kanak-kanak di Perak meningkat bagi tempoh 3 tahun

IPOH – Kes penderaan kanak-kanak di Perak menunjukkan peningkatan sepanjang tempoh tiga tahun mulai 2020 sehingga 2022.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, peningkatan kes itu melibatkan empat jenis penderaan iaitu secara seksual, fizikal, emosi dan secara pengabaian iaitu sama ada dibuang atau tiada ibu bapa.

Menurutnya, bagi tahun 2020, sebanyak 332 kes dilaporkan disusuli 370 kes pada tahun 2021.

“Kes melibatkan penganiayaan atau pengabaian kanak-kanak ini telah naik secara mendadak pada tahun 2022 iaitu sebanyak 532 kes.

“Bagaimanapun, kes yang sama sehingga 30 November tahun ini, telah berlaku penurunan yang signifikan iaitu sebanyak 168 kes sahaja dilaporkan dan sedang diurus dengan cermat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Justeru, kerajaan negeri sedar dan bersikap cukup kritikal terhadap kes berkaitan kanak-kanak ini yang sentiasa diberi perhatian penuh terhadap perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan S Wasanthee (PH-Hutan Melintang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Salbiah berkata, terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi trend turun naik graf statistik kes penderaan kanak-kanak ini.

“Seperti kita semua sedia maklum, peningkatan mendadak berlaku pada tahun 2021 dan 2022 yang merupakan tahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat serangan Covid-19.

“Dalam tempoh ini, tekanan dan kesulitan hidup rakyat yang terpaksa berkurung di rumah telah membuatkan emosi amat menekan sehinggakan kanak-kanak turut dijadikan mangsa.

“Walaubagaimanapun, pola peningkatan kes ini tidak boleh dilihat dari satu sisi pandang sahaja, tetapi kita perlu melihat dari satu sisi pandang yang positif di mana timbulnya kesedaran yang tinggi dalam kalangan rakyat, masyarakat mahupun ibu bapa untuk melaporkan kes ini kepada pihak berkuasa.

“Kesedaran ini sudah pasti didorong oleh usaha yang berterusan oleh pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Salbiah berkata, sepanjang tahun 2023 ini, kerajaan negeri melalui Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat bersama JKM telah bekerjasama bersama pelbagai pihak secara rentas agensi dengan turun padang secara agresif ke sekolah-sekolah dan institusi pendidikan dalam memberi kesedaran supaya usaha melawan serta melaporkan kes penderaan kanak-kanak dapat digerakkan dan menjadi budaya yang mampan.

“Pada tahun ini, kerajaan negeri sama ada melalui saya mahupun, Sekretariat Wanita Perak, JKM dan NGO telah menjalankan program advokasi ke 35 lokasi dengan penyertaan melebihi 3,000 orang pelajar.

“Siri ceramah jenayah seksual dan reproduktif remaja ini telah digerakkan secara bersama oleh semua agensi dan NGO berkaitan termasuk Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) polis Perak,” jelasnya. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI