Kilang proses laksa, kuetiau guna logo halal tidak sah diserbu

KUALA KANGSAR – Tindakan sebuah kilang memproses laksa dan kuetiau di Sungai Siput, dekat sini, dengan menggunakan logo halal tidak sah mengundang padah apabila dserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak pada Rabu.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan secara bersepadu melibatkan penguat kuasa daripada KPDN Cawangan Kuala Kangsar, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).

Katanya, hasil pemeriksaan di kilang berkenaan mendapati terdapat logo halal dipaparkan pada bungkusan produk yang dikeluarkan.

Ujar beliau, namun pemilik perniagaan gagal mengemukakan Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah ketika serbuan dilakukan.

“Sebanyak 3,020 unit produk laksa dan kuetiau yang siap dibungkus dan tiga gulungan bekas plastik yang tertera logo halal yang tidak sah digunakan untuk tujuan perdagangan dan dokumen berkaitan telah disita.

“Nilai keseluruhan barang rampasan adalah dianggarkan berjumlah RM5,829,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

KPDN serbu kilang proses laksa, kuetiau guna logo halal tidak sah Perak Kuala Kangsar Kamalludin
Operasi bersepadu KPDN Cawangan Kuala Kangsar menyerbu sebuah kilang memproses laksa dan kuetiau di Sungai Siput yang dipercayai menggunakan logo halal tidak sah. Foto KPDN PERAK

Menurut Kamalludin, hasil siasatan awal, pihaknya mendapati produk laksa dan kuetiau yang dihasilkan di kilang berkenaan adalah untuk edaran serta jualan sekitar Negeri Perak dan Pulau Pinang.

Tambah beliau, Kes disiasat di bawah Perkara 8( a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal.

Kata beliau, jika disabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM200,00 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000.

“Manakala jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Jelas Kamalludin lagi, operasi bekenaan juga berjaya mengesan dua kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 melibatkan kompaun sebanyak RM1,00 di lokasi sama. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

KPDN serbu kilang seri kaya guna logo halal tidak sah

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI