KUALA LUMPUR – Dakwaan kadar kebantutan (stunting) kanak-kanak di Malaysia meningkat kepada 24.3 peratus pada 2024 berdasarkan anggaran data antarabangsa tidak menggambarkan keadaan sebenar di negara ini, jelas Kementerian Kesihatan (KKM).
Sebaliknya, KKM memaklumkan data terkini yang sahih melalui Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 merekodkan prevalens bantut sebanyak 21.2 peratus iaitu menurun 0.6 mata peratus berbanding 21.8 peratus pada 2019.
Menurut menterinya, Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad, angka 24.3 peratus yang dirujuk dalam laporan WHO–UNICEF–World Bank Joint Child Malnutrition Estimates (JME) 2025 hanyalah anggaran bukan diperoleh menerusi kajian lapangan sebenar bagi tempoh 2023 hingga 2025.
“Data tersebut tidak mengambil kira secara menyeluruh faktor-faktor yang mempengaruhi situasi semasa termasuk pelbagai tindakan proaktif yang telah dilaksanakan kerajaan bagi membendung masalah kebantutan kanak-kanak,” katanya dalam bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Dr Zulkefly berkata demikan menjawab soalan lisan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang meminta kementerian menyatakan langkah segera menangani isu kebantutan kanak-kanak termasuk intervensi pemakanan, pemantauan kesihatan serta kaitannya dengan kos sara hidup, keselamatan makanan dan kemampuan keluarga mendapatkan makanan berkhasiat.
Pihaknya mengakui masalah malpemakanan khususnya kebantutan dalam kalangan kanak-kanak, masih menjadi cabaran kesihatan awam yang serius dan memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai kementerian serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan ialah program Healthy Eating Responsibility for Women (HER) bagi wanita usia reproduktif, Program 1,000 Hari Pertama Kehidupan (HPK), Program Pemulihan Kanak-Kanak Kekurangan Zat Makanan (PPKZM), Program Community Feeding (PCF), latihan penyediaan makanan kepada pengusaha TASKA dan TADIKA serta intervensi pemakanan di sekolah menerusi Program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS), Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Program Susu Sekolah.
Pada masa sama, Dr Zulkefly berkata, KKM sedang merancang intervensi bersasar di semua negeri dengan memberi tumpuan kepada daerah yang merekodkan kadar kebantutan tertinggi melibatkan kira-kira 32,000 kanak-kanak.
Menurutnya, keberkesanan program itu dijangka dapat dinilai dalam tempoh dua tahun menerusi pendekatan pemakanan keluarga dan peningkatan tahap literasi pemakanan dalam kalangan ahli keluarga.
“Semua inisiatif ini dilaksanakan bagi mengurangkan masalah kebantutan kanak-kanak selaras dengan sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu menurunkan kadar bantut kepada 16.4 peratus menjelang 2030. Pemantauan berkala juga akan dilaksanakan melalui mekanisme Pemantauan dan Penilaian (M&E) serta petunjuk prestasi utama (KPI),” katanya.
KKM katanya turut menegaskan usaha membanteras masalah kebantutan tidak boleh dipikul kementerian itu sahaja kerana faktor penyumbangnya turut melibatkan aspek sosioekonomi, tahap pendidikan, persekitaran serta keselamatan makanan yang memerlukan kerjasama pelbagai agensi kerajaan. – MalaysiaGazette


