KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) perlu memberi penjelasan mengenai pelaksanaan pasport Malaysia dengan tempoh sah laku 10 tahun boleh diperkenalkan tanpa mengambil kira implikasinya terhadap urusan perjalanan rakyat.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, isu berkenaan menimbulkan persoalan besar apabila pemegang pasport 10 tahun didakwa berdepan kesukaran ketika membuat pembelian tiket penerbangan secara dalam talian.
Lebih mengecewakan, katanya, JIM menyarankan pemegang pasport berkenaan membeli tiket penerbangan di kaunter syarikat penerbangan bagi mengelakkan masalah ketika proses tempahan dalam talian.
“Bagaimana JIM boleh melaksanakan pasport sah laku 10 tahun tanpa terlebih dahulu mengkaji kesan dan implikasinya kepada rakyat?
“Lebih mengecewakan apabila pemegang pasport 10 tahun pula diminta membeli tiket di kaunter penerbangan kerana pembelian secara dalam talian dikatakan boleh menimbulkan masalah,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Semalam, JIM menghentikan serta-merta pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun sehingga isu berkaitan diselesaikan bersama syarikat penerbangan dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, keputusan itu dibuat susulan kesulitan yang dihadapi beberapa pemegang pasport berkenaan ketika melakukan perjalanan ke luar negara.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan JIM yang mengarahkan penarikan semula serta menghentikan serta-merta pengeluaran pasport sah laku 10 tahun, semalam.
“Persoalannya kepada JIM, adakah fungsi dan objektif pasport ini tidak dikaji atau kesannya tidak dilihat sebelum dilaksanakan?
“Bak kata pepatah, sudah terhantuk baru tengadah,” katanya.
Menurut beliau, keputusan menghentikan pengeluaran selepas ia dilaksanakan turut menimbulkan persoalan mengenai pembaziran wang rakyat, khususnya apabila rakyat sudah membayar RM350 bagi pasport berkenaan.
“JIM perlu memberikan penjelasan menyeluruh mengenai jumlah pasport yang telah dikeluarkan, jumlah pemegang pasport yang terjejas serta langkah penyelesaian yang akan diberikan kepada mereka,” katanya.
Dalam masa sama, Gulam Muszaffar juga mempersoalkan sikap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang didakwanya masih belum tampil memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan.
“JIM berada di bawah Kementerian Dalam Negeri. Jadi, mengapa Menteri Dalam Negeri masih diam seribu bahasa?
“Dalam isu seperti ini, seseorang yang mempunyai autoriti tinggi perlu tampil memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara yang menyusahkan rakyat,” katanya.
Katanya lagi, rakyat berhak mendapat penjelasan sama ada pelaksanaan pasport 10 tahun itu benar-benar melalui kajian teknikal, rundingan dengan syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan antarabangsa.
“Ini bukan soal kecil kerana pasport adalah dokumen perjalanan utama rakyat Malaysia.
“Sebarang perubahan pada tempoh sah laku dan reka bentuk atau sistem berkaitan perlu mengambil kira keseluruhan ekosistem perjalanan antarabangsa.
“Jangan apabila masalah sudah timbul, rakyat pula yang diminta menanggung kesannya,” katanya.
Tambah Gulam Muszaffar , isu tersebut juga sewajarnya menjadi pengajaran kepada kerajaan supaya setiap dasar baharu tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa menilai kesan kepada rakyat.
“Siapa yang perlu bertanggungjawab? Tepuk dada, tanya selera.
“Kalau slogan ‘MADANI’ hendak terus diyakini rakyat, perkara seperti ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


