Kutip 116 kg sampah dalam tempoh tiga jam

MANJUNG – Kesedaran menjaga kebersihan pantai perlu dipupuk dari semasa ke semasa oleh semua pihak supaya penduduk setempat, pelancong serta hidupan darat atau laut dapat hidup dalam persekitaran bersih dan selamat.

Menyedari perkara itu, seramai 48 pensyarah Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Politeknik Ungku Omar (PUO) turun padang membersihkan persekitaran Pantai Teluk Senangin, di sini yang merupakan kawasan tarikan pelancong di negeri ini.

Program Kesedaran dan Lindungi Alam Sekitar itu turut mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Zon 3, Unit Landskap dan Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Pensyarah Kanan PUO merangkap Pengarah CSR program, Astri Idayu Athesan berkata kerja-kerja pembersihan pantai yang berlangsung selama tiga jam di sepanjang sembilan kilometer pesisiran pantai itu telah mengumpul kira-kira 116 kilogram sampah dari pelbagai bahan yang boleh dikitar semula dan tidak boleh dikitar semula.

“Antara sampah yang dikutip adalah botol plastik, bekas polistrin, kaca, kertas, tin minuman, lampin pakai buang serta tikar plastik yang digunakan pengunjung semasa berkelah, ” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebahagian peserta menanam pokok dalam program Kesedaran dan Lindungi Alam Sekitar anjuran PUO dengan kerjasama MPM yang diadakan di sepanjang persisiran pantai peranginan Teluk Senangin baru-baru ini. Foto Ihsan PUO

Menurutnya, peserta program turut diberi taklimat cara menangani obor-obor oleh Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Pulau Pangkor, Dr Nadia A Hadi.

“Taklimat kesedaran yang disampaikan itu memberi maklumat berhubung bahaya obor-obor dan cara menanganinya sekiranya terkena sengatan ketika mandi di laut.

“Antara tips yang dikongsikan adalah sekiranya manusia terkena sengatan obor-obor, cuka boleh dicurahkan pada tempat terkena sengatan dalam masa sekurang-kurangnya 30 saat untuk meneutralkan kadar toksin sengatan dan seterusnya mengurangkan risiko untuk toksin terus mengalir di dalam tubuh mangsa dan terus mendapatkan rawatan di klinik yang berhampiran.

“Menurut Dr Nadia, toksin yang mengalir ke dalam tubuh manusia boleh membawa kepada pelbagai kesan termasuk menyebabkan kematian,” katanya.

Dalam pada itu, Astri Idayu berkata selain aktiviti pembersihan pantai, peserta turut menanam pokok secara bergotong royong di persisiran pantai tersebut.

“Sebanyak 20 anak pokok jenis Beruas dan Pelindung sumbangan MPM turut ditanam di pesisir pantai itu,” ujarnya. – MG Perak

READ MORE:
‘Empat Kakak’, murah & cantik!

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI