Lelaki serang polis dengan kapak cedera ditembak

GERIK – Seorang lelaki berusia 31 tahun cedera ditembak pada bahagian kaki selepas menyerang anggota polis dengan menggunakan kapak di kawasan kebun kelapa sawit Felda Bersia, dekat sini, pada Selasa.

Dalam kejadian pada jam 12 tengah hari itu, dua anggota polis berpangkat koperal dan lans koperal dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik sedang menjalankan ‘Operasi Tapis’ di ladang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata dua anggota itu kemudiannya telah terserempak dengan seorang penunggang motosikal jenis Honda EX5 sebelum bertindak menahannya.

Katanya, lelaki berkenaan memberhentikan motosikalnya sebelum turun dengan memegang kapak pada tangan kanannya, sementara sebilah parang di tangan kiri.

“Selepas itu, lelaki tersebut telah bertindak membuang parang itu ke tanah dan terus berlari ke arah pegawai rendah polis lalu menyerang pegawai polis berpangkat Koperal menggunakan kapak.

“Pegawai polis tersebut cuba menangkap suspek berkenaan, tetapi dia bertindak agresif dengan melibas kapak ke arahnya sehingga mendatangkan kecederaan pada bahagian bahu kanan dan bengkak pada bahagian kepala.

“Dalam situasi tersebut, pegawai polis berkenaan bertindak mempertahankan diri dengan melepaskan tembakan ke bahagian kaki suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujar Zulkifli, kemudian berlaku pergelutan antara mangsa dengan pihak polis dengan dia cuba untuk melarikan diri, namun gagal dan akhirnya berjaya ditahan.

Katanya hasil pemeriksaan ke atas lelaki itu, pihak polis menemukan satu paket lutsinar yang berisi cebisan tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja dan dua keratan straw berisi bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine alam poket seluar.

Menurut beliau, suspek telah dibawa ke Hospital Daerah Taiping untuk menerima rawatan susulan sementara anggota polis yang cedera dirawat di Klinik Kesihatan Bersia.

“Dalam kejadian itu, seorang lagi anggota polis berpangkat lans koperal tidak mengalami sebarang kecerderaan, sementara pihak polis juga masih menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek untuk mengenal pasti sama ada positif dadah atau tidak,” katanya

Tambahnya kes tersebut disiasat di bawah seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta senjata 1960 dan seksyen 12(2)/6 Akta Dadah Berbahaya 1953. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI