Lokasi penemuan mayat Nuraina Humaira ibarat ‘kawasan larangan’

SUNGAI SIPUT – Lokasi penemuan mayat Nuraina Humaira Rosli, 10, di kawasan berpaya dekat perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, di sini, tidak pernah dilalui oleh penduduk di kampung berkenaan kerana ‘didiami’ haiwan berbisa terutama ular.

Bapa mangsa, Rosli Mahadi, 48, berkata, penduduk kampung tidak melalui kawasan berpaya itu kerana dipenuhi semak samun dan banyak binatang berbisa yang boleh mengancam keselamatan mereka.

Menurutnya, anak sulungnya itu seorang yang sangat taat kepada ibu bapa dan sentiasa memaklumkan kepada mereka jika ingin pergi ke mana-mana.

“Semasa dimaklumkan anak hilang, saya dan penduduk kampung membuat pencarian di belakang rumah dan keliling kampung, tetapi tidaklah sampai ke kawasan berpaya itu kerana orang kampung tidak pernah ke sana.

“Kawasan tersebut memang jarang dilalui. Nak bercucuk tanam pun tidak sesuai sebab ada paya, memang jaranglah orang sampai ke kawasan itu.

“Penduduk kampung memang tidak akan di situ dan saya pasti, anak saya tidak akan ke sana seorang diri,” katanya ketika ditemui media di perkarangan Unit Forensik Hospital Sungai Siput di sini, pada Ahad.

Lokasi penemuan mayat Nuraina Humaira ibarat 'kawasan larangan'
Khatijah Angah, 31, kelihatan sebak ketika menunggu proses bedah siasat ke atas mayat anaknya Nuraina Humaira Rosli, 10, yang sedang dijalankan di Unit Forensik Hospital Sungai Siput.
Mayat murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu itu ditemukan maut dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya dekat perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, di sini, semalam. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 OGOS 2024.

Turut bersama-sama menemaninya sejak malam tadi adalah isteri, Khatijah Angah, 31, dan anak lelaki bongsu mereka yang berusia empat tahun serta beberapa ahli keluarga yang lain.

Dalam pada itu, Rosli yang bertugas sebagai Rela berkata, anak sulung daripada dua beradik ini seorang yang pemalu dan sangat manja dengannya.

“Arwah seorang yang pemalu dan kuat merajuk. Sebagai, ayah saya selalu pujuk balik. Dia juga suka bermain dan bermanja-manja dengan saya.

“Masa saya balik kerja, selalu dia akan minta telefon bimbit saya untuk menonton kartun di YouTube. Tetapi pada hari Jumaat itu, saya tidak sempat bertemu dengannya kerana saya pergi kerja dahulu dan ibunya menghantarnya ke sekolah.

“Bila saya balik petang Jumaat itu, dia sudah pun tiada (hilang),“ katanya dalam keadaan sebak.

Terdahulu, MG Perak melaporkan seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli berusia 10 tahun yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ditemukan maut dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya dekat perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, di sini, semalam.

Mayat Nuraina Humaira murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu, dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan berkenaan sekitar jam 4.20 petang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata, mayat mangsa ditemukan antara 50 hingga 100 meter dari rumah terakhir di perkampungan terbabit.

Setakat jam, 5.30 petang urusan bedah siasat mayat kanak-kanak terbabit masih belum selesai. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Budak perempuan Orang Asli hilang ditemukan mati dalam paya

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI