Malaysia desak Israel hormat resolusi PBB

BAGAN DATUK – Malaysia mendesak Israel menghormati resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyeru gencatan senjata segera dan berkekalan antara tentera Israel dan Hamas di Gaza.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Israel perlu menghentikan peperangan terhadap rakyat di Gaza dan di Tebing Barat serta mengembalikan hak mereka termasuk tanah yang dirampas.

“Kita mahu Israel menghentikan peperangan terhadap rakyat di Gaza atau di Tebing Barat dan kita mahu rakyat Palestin yang dirampas tanah dan rumah dikembalikan haknya.

“Kita juga mahu Israel berundur dari bumi Gaza dan menghormati resolusi PBB serta menghormati apa yang telah ditekankan masyarakat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Deepavali 2023 Parlimen Bagan Datuk, di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata,Hamas bangun kerana tanah mereka diceroboh oleh Israel dan kumpulan berkenaan bertindak memperjuangkan hak rakyat Palestin.

“Hamas telah ditekan dan tekanan itu menyebabkan berlakunya beberapa tentangan daripada Hamas dan sebelum itu Fatah.

“Kita mahu rakyat Palestin diberikan hak, kita mahu orang Islam, Kristian atau Yahudi duduk secara aman tetapi bukan menekan antara satu sama lain,” ujarnya.

Pada 28 Oktober lalu, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menerima resolusi bertajuk ‘Protection of Civilians and Upholding Legal and Humanitarian Obligations’ dengan 120 undi menyokong, 14 membantah manakala 45 berkecuali.

Malaysia menyokong dan menjadi penaja bersama resolusi itu, selaras dengan pendirian negara yang tidak berbelah bagi untuk terus menyokong segala usaha antarabangsa dalam mencari penyelesaian adil, berkekalan, komprehensif dan damai terhadap situasi di Palestin. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI