Mangsa banjir di Perak terus meningkat

IPOH – Jumlah mangsa terjejas banjir di lima daerah di Perak meningkat sebanyak 1,299 orang melibatkan 411 keluarga setakat jam 8 pagi ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPM) Perak berkata, jumlah mangsa meningkat kepada 28 orang serta pertambahan 11 keluarga yang ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar lima daerah di negeri ini.

Menurutnya, daerah Kuala Kangsar masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 911 orang daripada 284 keluarga diikuti daerah Hilir Perak melibatkan 166 mangsa daripada 54 keluarga.

“Daerah Kampar mencatatkan jumlah mangsa terendah seramai 41 mangsa membabitkan 15 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Bharu.

“Manakala, bagi daerah Kerian seramai 75 mangsa daripada 24 keluarga berlindung di dua PPS iaitu SK Changkat Lobak dan SK Parit Haji Aman, Bagan Serai.

“Jumlah mangsa di daerah Perak Tengah pula adalah seramai 106 mangsa membabitkan 34 keluarga.

“Kesemua mereka ditempatkan di tiga PPS Dato’ Sagor di Kampung Gajah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muzafar Shah 1 di Lambor Kanan yang dibuka petang semalam serta Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang yang dibuka sejak Selasa lalu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, dalam kenyataan sama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan tiada kawasan yang merekodkan bacaan air melepasi paras bahaya.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan, Jalan Pasir Garam – Pulau Tiga dalam daerah Perak Tengah hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat sahaja dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Bota Kiri – Jambatan Dato Sagor.

“Jalan Selat Pulau – Pebayan di daerah yang sama ditutup kepada semua kenderaan.

“Manakala, Jalan Bagan Serai – Changkat Lobak dalam daerah Kerian ditutup kepada semua kenderaan dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintasan Alor Pongsu – Bukit Merah,“ ujar kenyataan tersebut. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Mangsa banjir dan PPS di Perak kembali bertambah

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI