IPOH – Kerajaan Negeri Perak dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) bersetuju menganjurkan Matta Connect serta MATTA Fair serentak pada tahun depan.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, kedua-dua acara utama pelancongan itu akan dihimpunkan menerusi penganjuran yang lebih besar, menyeluruh dan berimpak.
Menurutnya, MATTA Connect di Ipoh tahun ini mencatat sejarah apabila acara padanan perniagaan pelancongan antarabangsa itu buat pertama kalinya dibawa ke Perak.
“Acara berkenaan berjaya menarik penyertaan ratusan pembeli serta penggiat industri pelancongan dari dalam dan luar negara, termasuk Thailand, China, Indonesia, Singapura, India dan Uzbekistan.
“Penganjuran tersebut turut menyediakan platform penting kepada penggiat pelancongan tempatan untuk berhubung secara langsung dengan pasaran antarabangsa, meneroka peluang perniagaan baharu serta memperluas jaringan kerjasama.
“Hasil usaha bersama kerajaan negeri dan MATTA, kedua-dua pihak hari ini secara rasmi telah mencapai kata sepakat bahawa MATTA Connect akan terus dianjurkan di Perak pada tahun hadapan.
“Program ini akan dirancang dan digerakkan bersama oleh Tourism Perak dan MATTA, dengan skala serta skop penganjuran yang akan diperluas lagi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran MATTA Connect dan MATTA Fair secara serentak pada tahun hadapan akan menggabungkan sesi padanan perniagaan pelancongan antarabangsa, promosi produk pelancongan, jualan pakej percutian kepada orang ramai serta rundingan komersial dalam satu platform bersepadu.
“Gabungan kedua-dua acara itu akan menghimpunkan pembeli antarabangsa, penggiat industri tempatan dan pengguna di bawah satu bumbung, sekali gus memperluas capaian pasaran serta menjana manfaat ekonomi yang lebih besar kepada Perak
“MATTA Connect bukan sekadar medan pertemuan antara pembeli dan penjual dalam industri pelancongan, sebaliknya menjadi jambatan penting untuk menterjemahkan perbincangan kepada kerjasama, mengembangkan idea menjadi pakej pelancongan serta membawa produk pelancongan Perak ke pasaran antarabangsa.
“Pada masa sama, MATTA Fair sejak sekian lama menawarkan pelbagai pilihan pelancongan kepada orang ramai, selain membantu penggiat industri memperluas pasaran, menambah pelanggan dan membina jaringan perniagaan,” ujarnya.
Loh berkata, pameran itu turut memainkan peranan yang semakin aktif dalam mempromosikan produk pelancongan domestik serta menggalakkan rakyat Malaysia meneroka destinasi tempatan.
“Penganjuran serentak kedua-dua acara itu dijangka membentuk ekosistem pelancongan yang lebih lengkap, di samping menghasilkan limpahan ekonomi yang lebih luas kepada sektor perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan, peruncitan, tarikan pelancongan serta pelancongan berasaskan komuniti,” jelasnya.
Katanya, kerajaan negeri dan MATTA akan terus memperkukuh kerjasama strategik menerusi sokongan dasar, promosi destinasi, padanan industri serta pemerkasaan produk pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong, pembeli dan penggiat industri antarabangsa ke Perak.
“Kita mahu kedua-dua acara pada tahun hadapan bukan sahaja lebih besar dari segi skala, tetapi turut menghasilkan lebih banyak kerjasama yang nyata, pakej pelancongan berkualiti serta peluang perniagaan baharu.
“Dengan itu, penggiat pelancongan Perak dapat melangkah lebih jauh, manakala lebih ramai masyarakat antarabangsa berpeluang mengenali dan memahami keistimewaan Perak dengan lebih mendalam.
“Usaha ini bukan sahaja akan memperkukuh kedudukan Perak sebagai destinasi pelancongan pilihan, malah menyuntik momentum baharu kepada pertumbuhan industri pelancongan serta ekonomi negeri secara keseluruhannya,” katanya.
MATTA Fair Perak pada tahun ini diadakan di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) selama dua hari pada 1 dan 2 Ogos ini.
Penganjuran edisi ke-37 itu menjangkakan kehadiran lebih 25,000 pengunjung dengan nilai jualan sekitar RM22 juta. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak salur peruntukan RM100,000 anjur MATTA Connect di Ipoh


