IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir menyaksikan tayangan skrin besar siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina bersama ribuan penonton di Dataran Bandaraya Ipoh, pagi tadi.
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah, serta Ahli Majlis Bandaraya Ipoh merangkap penyelaras program, Muhammad Hamzah Md. Hamdan.

Difahamkan bermula tengah malam, kawasan Dataran Bandaraya Ipoh sudah mula dipenuhi orang ramai yang hadir bersama ahli keluarga dan rakan-rakan bagi memberikan sokongan kepada pasukan pilihan masing-masing.
Sebahagian mereka yang hadir turut membawa tikar dan kerusi bagi menyaksikan perlawanan bola sepak berpestij itu pada skrin besar dalam suasana santai dan selesa.


Sorakan dan tepukan gemuruh bergema sebaik wisel permulaan apabila penyokong kedua-dua pasukan yang hadir memakai jersi pasukan masing-masing yang menghidupkan lagi suasana.
Pada program berkenaan, Saarani juga menyampaikan sijil penghargaan kepada para penaja serta hadiah kepada lima orang penonton bertuah menerusi acara cabutan bertuah yang diadakan pada waktu rehat perlawanan.

Selain itu, Menteri Besar Perak turut meluangkan masa mengunjungi reruai-reruai pameran serta menyertai sesi ramah mesra bersama legenda-legenda bola sepak negeri Perak yang juga turut hadir.
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam satu kenyataan berkata, penganjuran acara tayangan skrin besar itu berjaya menghimpunkan warga kota daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana yang harmoni, ceria dan penuh semangat kekeluargaan.

Katanya, kehadiran luar biasa orang ramai membuktikan bahawa bola sepak bukan sekadar sukan, malah mampu menjadi medium yang menyatukan masyarakat tanpa mengira usia, kaum dan latar belakang.
“Program ini turut mencerminkan komitmen MBI dalam menyediakan aktiviti berimpak tinggi yang bukan sahaja menawarkan hiburan dan riadah, malah memperkukuh perpaduan, keharmonian serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga kota,” jelasnya.
Pada aksi Piala Dunia 2026 awal pagi tadi yang penuh debaran, menyaksikan Sepanyol mengulangi kejayaan pada tahun 2010 selepas berjaya menundukkan Argentina dengan meraih kemenangan 1-0 sekali gus muncul sebagai juara. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


