IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memandang serius insiden seorang anggota penguat kuasanya yang diserang dan diugut ketika menjalankan tugas di Jalan Pengkalan Barat 35, di sini, 24 Julai lalu.
Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah berkata, berdasarkan laporan kejadian, anggota berkenaan dipercayai diekori, diganggu dan diugut oleh seorang lelaki selepas mengeluarkan notis kompaun.
Menurut beliau, suspek turut bertindak agresif sehingga menimbulkan ancaman terhadap keselamatan anggota terbabit.
“Anggota penguat kuasa yang terlibat hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab rasmi selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Sebarang bentuk kekerasan, ancaman, ugutan atau tindakan menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas merupakan perbuatan yang serius dan tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keselamatan serta kebajikan warga kerja MBI, khususnya anggota yang bertugas di lapangan, sentiasa menjadi keutamaan pihak majlis.
Katanya, MBI turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, atas tindakan pantas menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
“Pihak MBI akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu melengkapkan siasatan.
“Sehubungan itu, semua pihak diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan sehingga proses siasatan selesai,” katanya.
Dalam pada itu, Zamakhshari menyeru orang ramai supaya memberikan kerjasama kepada anggota penguat kuasa serta menggunakan saluran aduan atau rayuan yang disediakan sekiranya tidak berpuas hati terhadap sesuatu tindakan penguatkuasaan.
“MBI tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang mengancam, menyerang atau menghalang warga kerjanya ketika menjalankan amanah demi menjaga ketenteraman, keselamatan dan kesejahteraan bandar raya Ipoh,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


