MBI PBT pertama di Perak guna teknologi HIP baiki jalan berlubang

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Perak yang menggunakan teknologi terkini ‘Hot In Place’ (HIP) bagi kerja-kerja penampalan jalan berlubang (pothole) di sekitar bandar raya ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kaedah tersebut menggunakan jentera yang didatangkan secara pakej dalam satu kenderaan meliputi peralatan pemanasan, pengorekan, proses penyediaan bitumen aspalt dan jentera pemadatan.

Menurutnya, jentera bernilai lebih RM800,000 yang dibuat khas dan menggunakan teknologi dari China itu mula beroperasi pada bulan ini.

Tambahnya, penggunaan jentera ini mampu memendekkan masa kerja-kerja penampalan jalan berlubang kepada 20 minit pada satu masa berbanding hampir satu jam jika menggunakan kaedah sedia ada.

“Teknologi ini dilihat lebih tahan lama serta mampu menghasilkan tampalan yang berkualiti hanya dengan mengitar semula batu sedia ada.

“Dulu kita menggunakan batu baharu dan kita kena ambil daripada kuari. Ini akan merosakkan gunung. Tapi melalui teknologi ini, kita dapat kurangkan penggunaan penggunaan batu kapur yang diambil dari kuari baharu.

“Melalui kaedah ini, kita dapat mengurangkan 50 peratus penggunaan batu kapur sekali gus membantu memelihara alam sekitar dan itu juga adalah salah satu cara Ipoh ke arah bandar raya rendah karbon,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas turun padang menyaksikan kaedah pembaikan jalan berlubang atau pothole menggunakan teknologi terkini HIP di Jalan Ghazali Jawi, pada Khamis.

Dalam pada itu, Rumaizi berkata uji cuba kaedah ini telah dilaksanakan bagi menambah baik proses tampalan jalan yang sebelum ini menggunakan kaedah ‘mark and cut’ yang mengambil masa lama untuk dilaksanakan.

Katanya, sebagai permulaan, kaedah ini akan digunakan di jalan-jalan utama di sekitar kawasan di bawah pentadbiran MBI.

“Kira-kira 1,200 meter persegi sebulan diperuntukan kepada Puncak Emas Infra Sdn Bhd (PEISB) selaku syarikat konsesi untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan di bawah selenggaraan MBI.

“Kita berharap melalui kaedah ini aduan pothole yang kerap berlaku pada musim peralihan monsun serta mempunyai kadar taburan hujan yang tinggi dapat dikurangkan sekali gus memberi keselesaan dan lebih selamat kepada pengguna jalan raya,” jelasnya. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI