Aliran air bawah tanah punca struktur jalan RM7.2 juta rosak

IPOH  – Aliran air bawah tanah yang merosakkan struktur sub gred dan sub base jalan menjadi punca kerosakan permukaan jalan pintas yang menghubungkan Bandar Meru Raya dengan Klebang, di sini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, keadaan itu menyebabkan turapan jalan sebelum ini tidak dapat menampung beban gandar sehingga berlakunya kerosakan.

Menurut beliau, keadaan kerosakan itu dikesan pada September lalu dan tindakan pembaikan dilakukan dengan memasang sistem saliran sub soil di sebahagian jajaran yang terlibat supaya dapat aliran air bawah tanah dapat disalurkan melalui sistem saliran sedia ada.

“Pada Oktober lalu, kita telah melaksanakan pembaikan untuk kali kedua dengan menambah saliran sub-soil di beberapa lokasi lain.

“Bagaimanapun, hujan yang berterusan pada awal Disember ini menyebabkan aliran air bawah tanah meningkat dan melemahkan sebahagian besar lapisan sub gred dan sub base sepanjang 35 meter.

“Keadaan itu secara tidak langsung, mengakibatkan permukaan jalan akan melemah dan rosak dengan lebih mudah,” katanya pada sidang media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Bulan Disember Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Rumaizi memaklumkan Jabatan Kejuruteraan MBI sudah mengarahkan pihak konsultan projek untuk melaksanakan kajian lanjut berkaitan isu ini bagi tindakan cadangan kaedah pembaikan secara menyeluruh.

“Pihak kontraktor akan melaksanakan kerja pembaikan semula struktur jalan ini dalam tempoh tanggungan kecacatan selama 12 bulan,” jelasnya.

Projek Jalan Meru Raya – Klebang bernilai RM7.2 juta yang dibuka Ogos lalu itu mengalami kerosakan tidak sampai lima bulan dibuka sehingga mencetuskan kegusaran terhadap penduduk setempat.

Kerosakan jalan itu juga mengundang bahaya kepada pengguna jalan yang melalui laluan tersebut setiap hari. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MBI PBT pertama di Perak guna teknologi HIP baiki jalan berlubang

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI