KUALA LUMPUR – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sedang mengambil tindakan segera untuk membatalkan status Malaysia Digital NSO Malaysia Sdn. Bhd. (NSO), yang mengendalikan Network School di Forest City.
Menerusi kenyataannya, MDEC berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) untuk membatalkan lesen perniagaan NSO
Ia kerana, syarat-syarat yang ditetapkan bagi status Malaysia Digital mewajibkan sesebuah syarikat memperoleh permit dan lesen yang berkaitan untuk menjalankan aktiviti yang diluluskan, serta mematuhi semua peraturan dan syarat pelesenan yang berkuat kuasa.
“Pembatalan lesen perniagaan NSO merupakan suatu ketidakpatuhan terhadap syarat ini,” katanya.
MDEC berkata, pihaknya mengalu-alukan pelaburan digital berkualiti ke Malaysia, namun pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang dan peraturan Malaysia tidak boleh dikompromi.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sudah membatalkan lesen perniagaan serta mengarahkan semua aktiviti Network School dihentikan berkuat kuasa esok.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, arahan itu dibuat selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan oleh pihak syarikat.
“Tindakan penguatkuasaan hanya boleh diambil selepas aduan serta maklumat disahkan, pemeriksaan dijalankan, ketidakpatuhan dikenal pasti dan proses undang-undang disempurnakan.
“Tempoh sesuatu premis beroperasi tidak bermakna semua aktivitinya sentiasa mematuhi syarat lesen. Apabila ketidakpatuhan dikenal pasti, tindakan mesti diambil tanpa kompromi.
“Kerajaan negeri akan terus memperketat penyelarasan antara agensi agar sebarang ketidakpatuhan dapat dikesan dan ditangani segera,” katanya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette
Lesen perniagaan dibatalkan, Network School diarah henti operasi esok – Onn Hafiz


