Menteri Besar Perak bangga Azeem raih pingat gangsa acara 100 meter di Sukan Asia

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meluahkan rasa bangga di atas pencapaian Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang berjaya meraih pingat gangsa dalam acara 100 meter (m) di temasya Sukan Asia pada Sabtu.

“Azeem membanggakan kita lagi.

“Lelaki ketiga terpantas di Asia,” ucapnya ringkas melalui hantaran yang dimuat naik di Facebook beliau malam tadi.

Anak kelahiran Teluk Intan, Perak yang baru berusia 19 tahun itu akhirnya menamatkan kemarau pingat selama 41 tahun bagi acara tersebut.

Beliau berjaya mencatatkan rekod 10.11 saat (s) untuk memenangi gangsa dalam penampilan pertamanya pada acara yang berlangsung di Hangzhou, China itu.

Pingat emas diraih tuan rumah, Xie Zhenye dengan catatan 9.97s, manakala perak menjadi milik pelari Thailand, Puripol Boonson yang mencatat masa 10.02s.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia berjaya merangkul pingat dalam acara yang sama menerusi Datuk Rabuan Pit sewaktu temasya Sukan Asia di New Delhi, India pada tahun 1982.

Rabuan yang mendapat jolokan Raja Pecut Asia pada ketika itu memenangi emas dengan catatan masa 10.68s. – MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI