Motif belum dikenal pasti, identiti wanita dalam beg pakaian masih ‘misteri’

SUNGAI SIPUT – Polis masih giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kes penemuan mayat seorang wanita di dalam sebuah beg pakaian yang dibalut dengan plastik di Sungai Perak berhampiran Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah dekat Kuala Kangsar pada bulan lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, setakat ini motif pembunuhan itu masih belum jelas dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi merungkai kejadian sebenar berlaku.

“Motif kita belum lagi dapat kenal pasti. Kita juga sudah menghantar beberapa spesimen mangsa pada forensik untuk siasatan lanjut.

“Proses ini akan mengambil masa yang lama sikit kerana spesimen yang dihantar agak banyak kepada pihak forensik.

“Sebelum ini, kita telah pun membuat pemeriksaan (cap jari) dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak dan sebagainya tetapi kita masih tak dapat mengenalpasti mangsa.

“Kita percaya mangsa bukan warganegara tempatan dan daripada siasatan forensik peringkat awal mendapati mangsa dalam lingkungan 30-an,“ katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sini hari ini.

Motif belum dikenal pasti, identiti wanita dalam beg pakaian masih ‘misteri’
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput. Foto ABDULLAH YUSOF, 02 SEPTEMBER 2026.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa diikat dan dimasukkan ke dalam beg pakaian sebelum dibuang ke dalam sungai.

Tambahnya, polis akan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi mendapat maklumat sehingga identiti mangsa dapat dikenal pasti.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun dilaporkan berkata, semakan di JPN Perak tidak menemukan sebarang rekod yang sepadan dan mangsa dipercayai bukan warga tempatan berdasarkan ketiadaan kesan suntikan imunisasi Bacille Calmette-Guerin (BCG) pada tubuhnya.

Katanya, ketika ditemukan pada 14 Ogos lalu, mangsa memakai baju lengan panjang berbelang putih dan hitam, jeans hitam serta memakai anting-anting.

Beliau berkata, bedah siasat telah dijalankan oleh pakar patologi forensik Hospital Taiping dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes bunuh serta disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Beg pakaian berisi mayat ditemukan terapung di Sungai Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI