MPV lesap depan mata dilarikan pencuri

IPOH – Seorang pemilik kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard hanya mampu melihat kenderaan tersebut dilarikan di hadapan mata dalam insiden yang berlaku di Meru, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu yang sekitar jam 4.19 pagi Ahad.

Menurutnya, laporan polis itu dibuat seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun.

“Siasatan awal pihak polis di tempat kejadian mendapati MPV Toyota Alphard berwarna hitam itu diparkir di dalam kawasan pagar rumah pengadu.

“Kenderaan tersebut dipercayai telah dicuri oleh seorang lelaki yang identitinya masih belum dapat dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri kenderaan.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh di talian 05-254 2222 atau di balai polis berhampiran.

“Justeru, pihak polis ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang melangkaui undang-undang dan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat,” ujarnya.

Terdahulu, tular video berdurasi 15 saat yang dikongsikan di akaun TikTok @farrahouz1 mengenai insiden tersebut.

Menerusi perkongsian tersebut, kejadian itu berlaku sekitar jam 3.50 pagi semalam sewaktu dia bersama keluarga berada di kediaman mereka yang terletak di Meru.

Dia memaklumkan sewaktu kejadian, pintu pagar rumah mereka dikunci dalam keadaan yang baik namun penjenayah terbabit berjaya membuka palang atau lengan pagar (gate arm) automatik rumah berkenaan.

Selain itu, dia turut mendakwa penjenayah terbabit membuka kunci kereta menggunakan alat khas. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sindiket curi kenderaan tumpas selepas dikejar lebih 20 km

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI